Memaparkan catatan dengan label alam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label alam. Papar semua catatan

Ahad, 14 Ogos 2011

ALAM KABIR DAN SAGHIR


ALAM KABIR DAN SAGHIR

Di tengah lingkaran bulatan Daerah Imkan adalah kedudukan 'Arash Ar-Rahman Mu'alla yang tinggi tempat Istiwa Allah . Sedangkan Allah  adalah Maha Suci dari sebarang takluk dengan tempat yang kewujudanNya tidak bergantung pada sebarang tempat. Zat Allah  adalah Maha Tinggi, maka adalah sangat sesuai untuk dihadapkan tumpuan Ruh ke arah atas 'Arash. 'Arash Mu'alla adalah seumpama sempadan yang membahagikan antara kedua-dua asal Alam Amar dan Alam Khalaq di Alam Kabir atau Makrokosmos iaitu alam semesta yang besar, manakala Qalb pula adalah sempadan yang membahagikan Alam Amar dan Alam Khalaq di Alam Saghir atau Mikrokosmos iaitu alam diri insan yang kecil. Dengan membiaskan 'Arash Mu'alla dengan Qalb akan membahagikan lima Latifah Alam Amar di dada dengan lima Latifah Alam Khalaq yang lain. Latifah Qalb adalah sebagai pembahagi Alam Saghir sepertimana 'Arash Mu'alla adalah sebagai pembahagi Alam Kabir. 'Arash Mu'alla bukanlah sekadar suatu garisan bahkan ianya adalah suatu daerah yang memiliki dua belas tiang. Bagaimana hakikatnya yang sebenar hanyalah Allah  saja yang mengetahuinya. Ia adalah pusat cahaya yang menerangi alam semesta dan berada di bumbung Syurga. Syurga dan Neraka kedua-duanya berada di bawah 'Arash Allah . Di bawahnyalah terletak segala langit, matahari, bulan, bintang-bintang dan sekelian planet. Alam Khalaq juga dikenali sebagai Alam Nasut dan Alam Muluk. Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi  menyatakan bahawa manusia adalah Alam Saghir. Apabila Allah  menjadikan manusia, maka Dia dengan seluruh KekuasaanNya telah menempatkan kesemua Lataif Alam Amar di dalam dada manusia dan telah menyebabkannya asyik dan cinta terhadap tubuh badannya. Ini adalah kerana Allah  mahu manusia menjadi suatu ciptaan yang sempurna secara keseluruhannya merangkumi Alam Amar dan Alam Khalaq. Dengan cara ini, manusia pun dinamakan sebagai Alam Saghir. Di atas 'Arash Mu'alla terdapat lima alam yang merupakan asal kepada Lataif Alam Amar. Yang pertama adalah Maqam Qalb yang merupakan asal kepada Latifah Qalb yang dikenali juga sebagai Alam Malakut. Sinar Nurnya bercahaya dengan warna kuning yang bulat dan terang bagaikan mentari di bawah telapak kaki Hadhrat Nabi Adam . Latifah Qalb akan menjadi hidup menerusi Zikir menyebutkan Nama Allah  sehingga cahaya kuning dapat kelihatan memasuki ruangan Qalb dan mengembangkan sinarnya, lalu naik ke atas menuju ke arah 'Arash Mu'alla sehingga sampai ke bahagian atasnya yang merupakan tempat asalnya. Seseorang yang telah Fana pada Latifah Qalb ini nescaya akan memperolehi Kasyaf Qulub iaitu mendapat pengetahuan tentang isi hati manusia. Di atas Maqam Qalb terdapat Maqam Ruh yang merupakan asal bagi Latifah Ruh. Maqam ini juga dikenali sebagai Alam Arwah iaitu alam sekelian Ruh yang diciptakan semenjak permulaan masa dan ia juga dikenali sebagai Alam Jabarut yang bererti suatu alam yang mengandungi kebesaran serta kekuasaan Ruhaniah. Untuk mencapai Alam Arwah, seseorang itu perlu mensucikan Latifah Qalbnya terlebih dahulu. Latifah Ruh adalah lebih halus dari Latifah Qalb dan lebih hampir Kehadhrat Allah . Nurnya bersinar dengan cahaya merah yang terang dalam lingkaran bulat di bawah telapak kaki Hadhrat Nabi Ibrahim  dan Hadhrat Nabi Nuh . Apabila limpahan cahaya tersebut datang memasuki Latifah Ruh, sinarnya akan mengembang dan akan tertuju ke arah 'Arash Mu'alla yang merupakan daerah tempat asalnya. Pada Latifah Ruh ini, seseorang Salik akan memperolehi Kasyaf Qubur iaitu dapat mengetahui hal ehwal yang berlaku dalam kubur dengan izin Allah . Di atasnya terdapat tempat asal bagi Latifah ketiga iaitu Maqam Sirr yang merupakan Alam Bayangan Sifat-Sifat Allah  dan dikenali juga sebagai Alam Lahut yang bererti suatu alam Ketuhanan. Nur Latifah Sirr bercahaya dengan warna putih dalam lingkaran bulat dan bercahaya seumpama mentari di bawah telapak kaki Hadhrat Nabi Musa . Ini merupakan suatu tahap di mana seseorang Salik, dalam kesedaran wujud Ruhnya sudah mula memasuki Alam Hadhrat Allah  yang menurut Hadhrat Imam Rabbani merupakan tahap mabuk atau diistilahkan sebagai Sukr. Pada tahap ini Salik akan dikuasai oleh perasaan cinta yang mendalam terhadap Allah . Pada Latifah Sirr inilah tempat bermulanya Jazbah yakni tarikan ke arah cahaya Hadhrat Zat Ilahiyyat . Di atas alam ini terdapat Maqam tempat asal bagi Latifah Khafi dan bertaklukan dengan Alam Sifat yang dikenali juga sebagai Alam Bahut iaitu suatu alam yang memperlihatkan keindahan Sifat-Sifat Allah  yang tersembunyi. Nur Latifah Khafi bersinar dengan cahaya warna hitam berbentuk lingkaran bulat serta terang di bawah kaki Hadhrat Nabi 'Isa . Ia akan terbit dan mendongakkan sinarnya ke tempat asalnya di atas kedudukan Latifah Sirr. Pada Latifah Khafi ini, sifat-sifat Bashariyat iaitu sifat manusiawi akan semakin hilang meninggalkannya sehingga menjadikannya sebagai seorang suci dengan memiliki sifat-sifat kemalaikatan mengatasi manusia lain sehingga dapat mendengar suara doa Para Malaikat.

Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi  bahawa pada tahap ini, seseorang Salik akan mengalami Hairat Sughra iaitu ketakjuban atau kehairanan kecil apabila diperlihatkan Musyahadah terhadap Hadhrat Zat  dengan pandangan mata hatinya.

Ini merupakan tahap di mana hijab-hijab cahaya disingkapkan dan Salik akan dapat berpeluang merasa pencapaian kehadiran tahap akhir yang mana ini merupakan suatu nikmat besar dalam keunggulan Tariqat Naqshbandiyah dan dikenali sebagai Hudhzur yang bererti hadir di hadapan Hadhrat Allah . Bagi Para Penuntut Haqq, tahap kehairanan ini adalah seperti seorang yang baru mula mengenal pasti arah tujuan dan maksud untuk menuju Hadhrat Allah .Kemudian, di atas Maqam Latifah Khafi adalah Maqam Zat Yang Maha Suci yang merupakan tempat asal bagi Latifah Akhfa yang kedudukannya adalah di tengah-tengah dada dan dikenali juga sebagai Alam Hahut yang bersifat lebih tersembunyi. Sinar cahaya Latifah Akhfa berwarna hijau dalam lingkaran bulat yang terang di bawah telapak kaki Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah . Kesemua Lataif ini akan menjadi hidup dengan Zikrullah, 'Ibadah dan amalan Sunnah Nabawiyah.

ALAM AMAR DAN KHALAQ


ALAM AMAR DAN KHALAQ

Alam ini tergambar di Alam Mitsal sebagai sebuah bulatan yang dinamakan sebagai Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat yang bermaksud suatu daerah keluasan yang mungkin bagi sekelian ciptaan Allah  dan dibahagikannya kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq sebagai merujuk kepada saat terciptanya alam semesta. Allah  mengucapkan perkataan "Kun" yang bererti "Jadilah" dan segala ciptaan pun mula tercipta. Ini merujuk kepada Alam Amar yang secara keseluruhannya wujud hanya dengan satu ucapan kalimah dari Allah . Ianya tercipta dengan hanya satu perintah, lantas ianya berlaku secara langsung tanpa sebarang perantaraan. Dengan hanya satu ucapan kalimah perintah dari Allah , Alam Amar ini telah diwujudkan dengan sempurna. Sebaliknya pada Alam Khalaq, penciptaan yang berlaku adalah "Bitadrij" yakni dengan secara berperingkat-peringkat dan akan berterusan sehingga ke akhir Dunia di Hari Qiyamat. Alam Dunia ini yang berada di bawah takluk Alam Khalaq mengandungi masa, siang, malam, hari, minggu, bulan dan tahun. Manakala, Alam Amar adalah bebas dari sebarang taklukan dengan masa.

Allah  telah menciptakan alam semesta yang merangkumi langit dan bumi dalam enam hari atau enam tempoh masa yang hanya Allah  sahaja yang mengetahuinya, maka ianya bukan berlaku sempurna secara keseluruhan dengan satu perintah bahkan secara berperingkat-peringkat kerana manusia masih lagi datang dan pergi, dilahirkan dan dimatikan secara silih berganti.

Pada setiap Alam Amar dan Alam Khalaq terkandung lima lingkaran alam iaitu lima di atas 'Arash Mu'alla dan lima di bawah 'Arash Mu'alla yang merupakan asal-usul kepada Lataif pada tubuh badan Insan dan kedudukannya di Alam Mitsal digambarkan secara menegak.

Setiap satu alam itu dikaitkan dengan sifat-sifat yang tertentu, warna-warna yang tertentu, taklukan dengan Nabi-Nabi yang tertentu dan pencapaian kesedaran yang tertentu. Pergerakan Ruh seseorang Salik menerusi kegiatan Zikrullah dan Muraqabah akan membawanya dari satu lingkaran alam ke suatu lingkaran alam yang lain dalam alam semesta ini secara mendaki.

Gambaran ini seterusnya akan memperlihatkan kepada kita kaitan perhubungan yang berselari dan bertentangan antara tubuh badan manusia dan alam semesta, antara Alam Fana dan Alam Baqa, antara Jasmani dan Ruhani, antara Para Awliya dan Para Anbiya, antara Kewalian dan Kenabian, antara bayang-bayang dan hakikat kebenaran, antara Sifat dan Zat, antara cahaya tubuh dan jasad tubuh yang kesemuanya digambarkan secara menegak.