Isnin, 22 Oktober 2012

Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Quddisa Sirruhu




Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Quddisa Sirruhu

Hadhrat Khwajah Muhammad bin Muhammad bin Mahmud dikenali sebagai Khwajah Muhammad Parsa Quddisa Sirruhu adalah seorang daripada Khalifah Hadhrat Buzurg Shah Bahauddin Naqshaband Quddisa Sirruhu. Beliau telah dilahirkan pada tahun 739 H di Bukhara. Beliau telah pergi ke Qasr Arifan untuk berkhidmat kepada Hadhrat Khwajah Buzurg Muhammad Bahauddin Shah Naqshaband Quddisa Sirruhu dan telah berhasil mendapatkan Tarbiyah Ruhani daripadanya sehingga tergolong dalam saf pertama kepimpinan Silsilah Naqshabandiyyah. Beliau telah menjalankan usaha kerja yang besar dalam mengembangkan Silsilah 'Aaliyyah Naqshabandiyyah yang tinggi ini. Dalam Khandan Para Khwajagan Naqshaband, beliau merupakan seorang yang sangat 'Alim serta Zahid dan berkelebihan mencapai kedudukan yang penting di kalangan Para Awliya dan Para 'Ulama pada zamannya. Semenjak permulaan Ahwalnya, beliau telah berikhtiar memilih untuk bersuhbat dengan Hadhrat Buzurg Shah Bahauddin Naqshaband Quddisa Sirruhu dan telah menerima Tarbiyah yang khusus serta Tawajjuh yang sempurna darinya.

Pada suatu hari ketika zamannya kuat bermujahadah, beliau telah datang ke tempat Hadhrat Buzurg Shah Bahauddin Naqshband Quddisa Sirruhu dan sebagai menantikan kehadiran Hadhrat Tuan Buzurg, beliau telah berdiri di pintu rumahnya sehinggalah datang seorang Khadimah yang berkhidmat di rumah Hadhrat Tuan Buzurg dari luar hendak masuk ke dalam rumah. Hadhrat Khwajah Tuan Buzurg telah bertanya kepadanya, 
"Siapakah yang sedang berada di luar?"

Khadimah berkata,
"Seorang pemuda Parsa sedang berdiri menunggu Tuan." Parsa bererti seorang yang berbangsa Parsi.

Hadhrat Khwajah Buzurg pun keluar untuk pergi menemui Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa dan ketika melihatnya, beliau telah berkata,
"Kamu adalah Parsa".

Semenjak perkataan Parsa terbit dari ucapan Hadhrat Khwajah Buzurg menerusi lidahnya yang diberkati, semenjak itulah beliau telah masyhur di kalangan orang awam dengan nama Laqab gelaran sebagai Parsa. Ketika Hadhrat Khwajah Buzurg memberikan Ijazat kepadanya sebagai Murid, maka beliau berkenaan dirinya Hadhrat Khwjah telah berkata,
"Apa sahaja yang kamu katakan, ianya akan berlaku dan kepada sesiapa yang kamu berikan kesan, maka dia akan menjadi terkesan".

Pada ketika lain Hadhrat Khwajah Buzurg telah berkata,
"Apa sahaja yang Khwajah Parsa katakan, Allah Haqq Subhanahu Wa Ta'ala akan lakukan sedemikian. Daku katakan berkenaan dirinya bahawa, dia berkata sesuatu tetapi dia tidak berkata-kata apa pun". Pada suatu ketika yang lain, Hadhrat Khwajah Buzurg telah mengurniakan dan menghisakan beliau dengan sifat Burukh. 

Ketahuilah bahawa Burukh adalah nama seorang Wali Allah yang hidup dalam zaman Hadhrat Nabi Musa Kalimullah 'Alaihissalam. Sebagaimana Hadhrat Uwais Qarani Rahmatullah 'Alaih yang berada di kalangan Ummat Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, di kalangan ummat-ummat yang terdahulu perkataan Burukh digunakan bagi merujuk kepada sebuah jemaah yang tanpa pengajaran Ta'lim secara lisan hanya dengan amalan Suhbat semata-mata dan adakalanya walaupun dengan tanpa Suhbat, penghasilan Ma'arifat Haqiqi dapat juga terhasil menerusi perdampingan secara Batin dan Ruhaniantara satu sama lain. Golongan mereka ini dinamakan sebagai Burukhiyan. Dan bagi mereka yang dari kalangan Ummat Muhammad serta mengikuti Agama Islam Din Muhammadi serta memiliki ciri-ciri dan sifat ini, mereka dinamakan sebagai Uwaisi.

Ketika Hadhrat Khwajah Buzurg Quddisa Sirruhu melakukan perjalanan Safar ke Tanah Hijaz, beliau telah berkata kepada Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Quddisa Sirruhu,
"Amanah dan Haqq kebenaran Para Khulafa Khandan Khwajagan Qaddasallahu Asrarahum yang telah sampai kepada hamba yang dhaif ini dan apa sahaja yang telah daku hasilkan menerusi pekerjaan Kasab pada jalan Tariqat ini, kami kurniakan ianya kepada kamu. Sebagaimana saudara seagama, Hadhrat Maulana 'Arif Quddisa Sirruhu telah mengurniakannya kepadamu. Kamu terimalah amanat ini dan sampaikanlah ianya kepada sekelian makhluk Tuhan. Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Quddisa Sirruhu dengan merasakan dirinya lemah tiada berkeupayaan telah menerima kurniaan amanah tersebut."

Hadhrat Khwajah Buzurg juga telah berkata mengenainya,
"Apa sahaja yang ada pada sisiku, kamu sudah mengambilnya".

Hadhrat Khwajah Buzurg telah berkata berkenaannya,
"Maksud daripada Zuhur penzahiran kami adalah Wujud kewujudan Khwajah Muhammad Parsa". 

Dalam riwayat lain yang dinyatakan oleh sebahagian Masyaikh, Hadhrat Khwajah Buzurg telah berkata seperti berikut,
"Maksud daripada Wujud kewujudan kami adalah Zuhur penzahiran Khwajah Muhammad Parsa".

Hadhrat Khwajah Buzurg Quddisa Sirruhu telah berkata,
"Kepadanya kami telah memberikan pengajaran kedua-dua jalan Tariqah Jazbah dan Suluk. Jika beliau menyibukkan dirinya dengan amalan tersebut, alam akan bercahaya-cahaya menerusi beliau."

Pada suatu hari, Hadhrat Khwajah Buzurg Quddisa Sirruhu telah pergi ke tepi sebuah kolam berhampiran taman sebuah Mazar perkuburan Masyaikh, lalu beliau terlihat bahawa Hadhrat khwajah Muhammad Parsa Quddisa sirruhu sedang meletakkan kakinya ke dalam air kolam sambil sedang sibuk dalam Muraqabah tidak menyedari kehadiran sesiapa. Hadhrat Khwajah Buzurg mananggalkan pakaian luarannya dan masuk menyelam ke dalam kolam air tersebut dan meletakkan wajahnya di hujung kaki Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Quddisa Sirruhu seraya berdoa memohon Kehadhrat Rabbul 'Izzat,
"Wahai Tuhan, dengan kehormatan kaki beliau ini, Rahmatilah ke atas Bahauddin".

Karamah Shah Naqshaband dalam mempertahankan Khwajah Muhammad Parsa terhadap Para 'Ulama cemburu

Pada suatu masa, Hadhrat Shah Naqshaband Quddisa Sirruhu terpaksa menunjukkan kuasa ajaib untuk mempertahankan Khwajah Muhammad Parsa yang merupakan salah seorang daripada penggantinya di Bukhara. Peristiwa ini berlaku pada masa apabila Shaikh Muhammad Shamsuddin Al-Jazari datang ke Samarkand dalam masa pemerintahan Raja Mirza Aleg Beg, untuk menentukan kesahihan rantaian penghantaran dalam riwayat Hadits. Sesetengah 'Ulama yang cemburu dan jahat telah mengadu kepada Raja Mirza bahawa Khwajah Muhammad Parsa telah memberi riwayat Hadits yang rantai penghantarannya tidak diketahui. Mereka memberitahu Shaikh Muhammad Shamsuddin Al-Jazari,
"Jika anda cuba untuk membetulkan masalah itu, Allah akan memberikan kamu pahala yang besar." 

Shaikh Muhammad Shamsuddin meminta Sultan untuk memerintahkan Khwajah Muhammad Parsa muncul. Syaikhul-Islam Bukhara Husamuddin An-Nahawi turut berada di sana bersama-sama dengan ramai Para 'Ulama dan Para Imam dari kawasan itu. Hadhrat Shah Naqshaband Quddisa Sirruhu datang dengan Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Quddisa Sirruhu untuk mesyuarat tersebut. Kemudian Shaikh Husamuddin telah bertanya Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa tentang sebuah Hadits. Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa meriwayatkan Hadits itu beserta dengan rantai penghantaran Isnad. Shaikh Muhammad Al-Jazari berkata, "Tidak ada kesilapan dalam Hadits, tetapi rantaian adalah tidak betul." Apabila mendengar kenyataan ini, Para 'Ulama yang cemburu berasa gembira. Mereka bertanya meminta Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa untuk memberikan rantaian lain untuk Hadits tersebut. Beliau lakukan dan sekali lagi mereka berkata bahawa ia tidak betul. Mereka meminta untuk rantaian yang lain dan dia telah berikan dan masih mereka mendapati kesalahan pada rantaiannya.

Hadhrat Shah Naqshaband mulai campur tangan kerana dia tahu bahawa apa jua rantaian yang Hadhrat Khwajah Parsa berikan, mereka akan mengatakan ia adalah salah. Dia mengilhamkan Muhammad Parsa untuk mengarahkan soalan kepada Shaikh Husamuddin dan berkata kepadanya, 
"Anda adalah Shaikhul-Islam dan Mufti. Daripada apa yang anda telah belajar tentang pengetahuan luaran dan Syari'ah dan 'Ilmu Hadits, apa yang anda katakan tentang sekian-sekian periwayat itu?" 

Shaikh Husamuddin berkata, 
"Kami menerima orang itu dan banyak asas pengetahuan Hadits kami berdasarkan periwayatan beliau dan kitabnya diterima oleh kita dan keturunannya adalah bahawa semua 'Ulama menerimanya dan tidak ada hujah perbahasan mengenai perkara itu." 

Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa berkata, 
"Kitab orang itu yang anda terima periwayatannya berada di rumah anda dalam perpustakaan anda, kedudukannya antara kitab sekian dan kitab sekian. Ia mengandungi 500 muka surat dan warnanya adalah sekian dan sekian dan penutup kitab itu kelihatan seperti sekian dan sekian dan Hadits yang anda tolak itu telah ditulis oleh orang itu pada halaman sekian dan sekian. "

Shaikh Husamuddin telah menjadi keliru dan keraguan telah datang pada hatinya kerana dia tidak ingat samada pernah melihat kitab seperti yang dinyatakan di dalam perpustakaannya. Semua orang terkejut bahawa Hadhrat Khwajah Parsa tahu tentang kitab itu manakala pemiliknya tidak tahu mengenainya. Tiada pilihan lain kecuali dengan menghantar seseorang untuk memeriksa kebenarannya. Hadits yang dimaksudkan telah ditemui sebagaimana yang Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa telah sebutkan. Apabila Raja Mirza mendengar tentang cerita ini, 'Ulama yang membawa dakwaan telah dihina dan Hadhrat Shah Naqshaband dan Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa telah dimuliakan.

Menurut Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Quddisa Sirruhul 'Aziz telah menyatakan bahawa menerusi Tarbiyah daripada Hadhrat Khwajah Buzurg Quddisa Sirruhu, Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa telah menempuh perjalanan-perjalanan Jazbah dan Suluk dan telah mencapai Haqiqat Fana Fillah dan Baqa Billah serta telah mengalami 'Uruj kenaikan pada Darjat Wilayat. Beliau telah berhasil memperolehi Nisbat Fardiyyat daripada Hadhrat Maulana 'Arif Quddisa Sirruhu dan menerusi Tawassut perantaraan Hadhrat Khwajah Buzurg Quddisa Sirruhu dengan jalan Fardiyyat, beliau telah sampai hingga ke martabat Ghaib Huwiyyat. Beliau telah ditenggelami dengan Nisbat ini yang mana ianya membangkitkan ketiadaan sebarang takluk dengan alam. Takmil penyempurnaan bimbingan Irshadnya telah terhalang, jikalau tidak Maqam Takmil penyempurnaan secara keseluruhan akan terhasil pada beliau. Dalam Mukashafat 'Ainiyyah pada Mukashafah 3, Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Quddisa Sirruhu menukilkan,
"Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Quddisa Sirruhu adalah salah seorang sahabat Hadhrat Khwajah Naqshaband Quddisa Sirruhu yang terkenal. Beliau telah menempuh Jalan Sufi melalui Jazbah dan Suluk. Selepas mencapai Haqiqat Fana Fillah dan Baqa, beliau telah ‘Uruj ke Darjat Wilayat dan Syahadat. Hadhrat Khwajah Naqshaband Quddisa Sirruhu telah berkata mengenai Hadhrat Khwajah Parsa Quddisa Sirruhu, “Daku telah mentarbiyahnya melalui kedua-dua cara Jazbah dan Suluk”. Mengenai beliau, Hadhrat Khwajah Naqshaband Quddisa Sirruhu juga telah berkata, “Har Cheh Dashtim Az Man Rubudi” yang bermaksud, “Apa sahaja yang daku miliki, beliau telah mengambilnya dariku.” Di samping itu, beliau telah mencapai Nisbat Fardiyyat yang tersendiri daripada Hadhrat Maulana Arif Quddisa Sirruhu dan beliau telah Ittisal menyertai dengan Yang Ghaib Huwiyyat atas jalan Ifrad. Disebabkan beliau telah tenggelam dalam Ghalbah kedua-dua Nisbat ini iaitu Ifrad dan Yang Ghaib Huwiyyat, yang mewujudkan berkurangnya perhubungan dengan Dunia yang diciptakan dan bahawa kekurangan tersebut adalah penghalang kepada keupayaanya untuk Takmil menyempurnakan orang lain dan Irshad memberikan arah petunjuk yang baik kepada orang lain. Selain dari itu, beliau telah benar-benar mencapai Maqam Takmil iaitu membuat orang lain menjadi sempurna."

Menurut Hadhrat Syaikh Badruddin Sirhindi Rahmatullah 'Alaih di dalam kitabnya Hadhrat Al-Quds menyatakan bahawa usia Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa mencapai 73 tahun manakala menurut Hadhrat Pirzadah Iqbal Ahmad Faruqi, usianya mencapai 83 tahun dan telah wafat di Madinah Tayyibah pada hari Khamis 4 Jamadil Akhir 822 H, namun di dalam kitab Nafahat Al-Uns karangan Hadhrat Abdur Rahman Jami Rahmatullah 'Alaih, tarikh wafat beliau adalah pada 24 Dzul Hijjah. Jenazah beliau telah disembahyangkan oleh Ahli Madinah dan sekelian jemaah Qafilah dan diimamkan oleh Hadhrat Maulana Shamsuddin Minari Rahmatullah 'Alaih dan telah dimaqamkan pada kedudukan yang berhampiran dengan Maqam Hadhrat Sayyidina 'Abbas Radhiyallahu Ta'ala 'Anhu dan berjiranan dengan kubah Maqam Sayyidina 'Utsman Radhiyallahu 'Anhu. Hadhrat Syaikh Zainuddin Khwani Quddisa Sirruhu telah membawa sebuah batu nisan marmar putih dari Mesir dan menjadikannya sebagai Lauh batu nisan pada kuburnya. Dengan batu nisan tersebut, kubur beliau dapat dibezakan dari kubur-kubur yang lain.

Antara karangan beliau adalah seperti berikut:
1. Syarah Fusus Al-Hikam
2. Ruba'iyyat Khwajah Parsa
3. Anis At-Talibin
4. Kalimat Khwajah Parsa
5. Risalah Kashfiyyah
6. Risalah Mahbubiyyah
7.'Aqaid Firq Islami
8. Adab As-Salikin
9. Rumuz Al-Aqtab
10. Fusul Sittah
11. Syarah Qasidah Ibnu Faridhz
12. Anfas Qudsiyyah
13. Tahqiqat Khwajah Parsa
14. Jami' Al-Kalim
15. Maslak 'Arifin
16. Risalah Fi Tariq Zikr Al-Khafi
17. Risalah Qudsiyyah

Kitab Risalah Qudsiyyah adalah kitab yang paling digemari di kalangan Para Masyaikh yang di dalamnya terkandung Malfuzat ucapan kata-kata Hadhrat Khwajah Bahauddin Naqshaband Quddisa Sirruhu di dalam majlis-majlisnya yang khas.