Ahad, 14 Ogos 2011

ALAM KABIR DAN SAGHIR


ALAM KABIR DAN SAGHIR

Di tengah lingkaran bulatan Daerah Imkan adalah kedudukan 'Arash Ar-Rahman Mu'alla yang tinggi tempat Istiwa Allah . Sedangkan Allah  adalah Maha Suci dari sebarang takluk dengan tempat yang kewujudanNya tidak bergantung pada sebarang tempat. Zat Allah  adalah Maha Tinggi, maka adalah sangat sesuai untuk dihadapkan tumpuan Ruh ke arah atas 'Arash. 'Arash Mu'alla adalah seumpama sempadan yang membahagikan antara kedua-dua asal Alam Amar dan Alam Khalaq di Alam Kabir atau Makrokosmos iaitu alam semesta yang besar, manakala Qalb pula adalah sempadan yang membahagikan Alam Amar dan Alam Khalaq di Alam Saghir atau Mikrokosmos iaitu alam diri insan yang kecil. Dengan membiaskan 'Arash Mu'alla dengan Qalb akan membahagikan lima Latifah Alam Amar di dada dengan lima Latifah Alam Khalaq yang lain. Latifah Qalb adalah sebagai pembahagi Alam Saghir sepertimana 'Arash Mu'alla adalah sebagai pembahagi Alam Kabir. 'Arash Mu'alla bukanlah sekadar suatu garisan bahkan ianya adalah suatu daerah yang memiliki dua belas tiang. Bagaimana hakikatnya yang sebenar hanyalah Allah  saja yang mengetahuinya. Ia adalah pusat cahaya yang menerangi alam semesta dan berada di bumbung Syurga. Syurga dan Neraka kedua-duanya berada di bawah 'Arash Allah . Di bawahnyalah terletak segala langit, matahari, bulan, bintang-bintang dan sekelian planet. Alam Khalaq juga dikenali sebagai Alam Nasut dan Alam Muluk. Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi  menyatakan bahawa manusia adalah Alam Saghir. Apabila Allah  menjadikan manusia, maka Dia dengan seluruh KekuasaanNya telah menempatkan kesemua Lataif Alam Amar di dalam dada manusia dan telah menyebabkannya asyik dan cinta terhadap tubuh badannya. Ini adalah kerana Allah  mahu manusia menjadi suatu ciptaan yang sempurna secara keseluruhannya merangkumi Alam Amar dan Alam Khalaq. Dengan cara ini, manusia pun dinamakan sebagai Alam Saghir. Di atas 'Arash Mu'alla terdapat lima alam yang merupakan asal kepada Lataif Alam Amar. Yang pertama adalah Maqam Qalb yang merupakan asal kepada Latifah Qalb yang dikenali juga sebagai Alam Malakut. Sinar Nurnya bercahaya dengan warna kuning yang bulat dan terang bagaikan mentari di bawah telapak kaki Hadhrat Nabi Adam . Latifah Qalb akan menjadi hidup menerusi Zikir menyebutkan Nama Allah  sehingga cahaya kuning dapat kelihatan memasuki ruangan Qalb dan mengembangkan sinarnya, lalu naik ke atas menuju ke arah 'Arash Mu'alla sehingga sampai ke bahagian atasnya yang merupakan tempat asalnya. Seseorang yang telah Fana pada Latifah Qalb ini nescaya akan memperolehi Kasyaf Qulub iaitu mendapat pengetahuan tentang isi hati manusia. Di atas Maqam Qalb terdapat Maqam Ruh yang merupakan asal bagi Latifah Ruh. Maqam ini juga dikenali sebagai Alam Arwah iaitu alam sekelian Ruh yang diciptakan semenjak permulaan masa dan ia juga dikenali sebagai Alam Jabarut yang bererti suatu alam yang mengandungi kebesaran serta kekuasaan Ruhaniah. Untuk mencapai Alam Arwah, seseorang itu perlu mensucikan Latifah Qalbnya terlebih dahulu. Latifah Ruh adalah lebih halus dari Latifah Qalb dan lebih hampir Kehadhrat Allah . Nurnya bersinar dengan cahaya merah yang terang dalam lingkaran bulat di bawah telapak kaki Hadhrat Nabi Ibrahim  dan Hadhrat Nabi Nuh . Apabila limpahan cahaya tersebut datang memasuki Latifah Ruh, sinarnya akan mengembang dan akan tertuju ke arah 'Arash Mu'alla yang merupakan daerah tempat asalnya. Pada Latifah Ruh ini, seseorang Salik akan memperolehi Kasyaf Qubur iaitu dapat mengetahui hal ehwal yang berlaku dalam kubur dengan izin Allah . Di atasnya terdapat tempat asal bagi Latifah ketiga iaitu Maqam Sirr yang merupakan Alam Bayangan Sifat-Sifat Allah  dan dikenali juga sebagai Alam Lahut yang bererti suatu alam Ketuhanan. Nur Latifah Sirr bercahaya dengan warna putih dalam lingkaran bulat dan bercahaya seumpama mentari di bawah telapak kaki Hadhrat Nabi Musa . Ini merupakan suatu tahap di mana seseorang Salik, dalam kesedaran wujud Ruhnya sudah mula memasuki Alam Hadhrat Allah  yang menurut Hadhrat Imam Rabbani merupakan tahap mabuk atau diistilahkan sebagai Sukr. Pada tahap ini Salik akan dikuasai oleh perasaan cinta yang mendalam terhadap Allah . Pada Latifah Sirr inilah tempat bermulanya Jazbah yakni tarikan ke arah cahaya Hadhrat Zat Ilahiyyat . Di atas alam ini terdapat Maqam tempat asal bagi Latifah Khafi dan bertaklukan dengan Alam Sifat yang dikenali juga sebagai Alam Bahut iaitu suatu alam yang memperlihatkan keindahan Sifat-Sifat Allah  yang tersembunyi. Nur Latifah Khafi bersinar dengan cahaya warna hitam berbentuk lingkaran bulat serta terang di bawah kaki Hadhrat Nabi 'Isa . Ia akan terbit dan mendongakkan sinarnya ke tempat asalnya di atas kedudukan Latifah Sirr. Pada Latifah Khafi ini, sifat-sifat Bashariyat iaitu sifat manusiawi akan semakin hilang meninggalkannya sehingga menjadikannya sebagai seorang suci dengan memiliki sifat-sifat kemalaikatan mengatasi manusia lain sehingga dapat mendengar suara doa Para Malaikat.

Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi  bahawa pada tahap ini, seseorang Salik akan mengalami Hairat Sughra iaitu ketakjuban atau kehairanan kecil apabila diperlihatkan Musyahadah terhadap Hadhrat Zat  dengan pandangan mata hatinya.

Ini merupakan tahap di mana hijab-hijab cahaya disingkapkan dan Salik akan dapat berpeluang merasa pencapaian kehadiran tahap akhir yang mana ini merupakan suatu nikmat besar dalam keunggulan Tariqat Naqshbandiyah dan dikenali sebagai Hudhzur yang bererti hadir di hadapan Hadhrat Allah . Bagi Para Penuntut Haqq, tahap kehairanan ini adalah seperti seorang yang baru mula mengenal pasti arah tujuan dan maksud untuk menuju Hadhrat Allah .Kemudian, di atas Maqam Latifah Khafi adalah Maqam Zat Yang Maha Suci yang merupakan tempat asal bagi Latifah Akhfa yang kedudukannya adalah di tengah-tengah dada dan dikenali juga sebagai Alam Hahut yang bersifat lebih tersembunyi. Sinar cahaya Latifah Akhfa berwarna hijau dalam lingkaran bulat yang terang di bawah telapak kaki Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah . Kesemua Lataif ini akan menjadi hidup dengan Zikrullah, 'Ibadah dan amalan Sunnah Nabawiyah.

ALAM AMAR DAN KHALAQ


ALAM AMAR DAN KHALAQ

Alam ini tergambar di Alam Mitsal sebagai sebuah bulatan yang dinamakan sebagai Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat yang bermaksud suatu daerah keluasan yang mungkin bagi sekelian ciptaan Allah  dan dibahagikannya kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq sebagai merujuk kepada saat terciptanya alam semesta. Allah  mengucapkan perkataan "Kun" yang bererti "Jadilah" dan segala ciptaan pun mula tercipta. Ini merujuk kepada Alam Amar yang secara keseluruhannya wujud hanya dengan satu ucapan kalimah dari Allah . Ianya tercipta dengan hanya satu perintah, lantas ianya berlaku secara langsung tanpa sebarang perantaraan. Dengan hanya satu ucapan kalimah perintah dari Allah , Alam Amar ini telah diwujudkan dengan sempurna. Sebaliknya pada Alam Khalaq, penciptaan yang berlaku adalah "Bitadrij" yakni dengan secara berperingkat-peringkat dan akan berterusan sehingga ke akhir Dunia di Hari Qiyamat. Alam Dunia ini yang berada di bawah takluk Alam Khalaq mengandungi masa, siang, malam, hari, minggu, bulan dan tahun. Manakala, Alam Amar adalah bebas dari sebarang taklukan dengan masa.

Allah  telah menciptakan alam semesta yang merangkumi langit dan bumi dalam enam hari atau enam tempoh masa yang hanya Allah  sahaja yang mengetahuinya, maka ianya bukan berlaku sempurna secara keseluruhan dengan satu perintah bahkan secara berperingkat-peringkat kerana manusia masih lagi datang dan pergi, dilahirkan dan dimatikan secara silih berganti.

Pada setiap Alam Amar dan Alam Khalaq terkandung lima lingkaran alam iaitu lima di atas 'Arash Mu'alla dan lima di bawah 'Arash Mu'alla yang merupakan asal-usul kepada Lataif pada tubuh badan Insan dan kedudukannya di Alam Mitsal digambarkan secara menegak.

Setiap satu alam itu dikaitkan dengan sifat-sifat yang tertentu, warna-warna yang tertentu, taklukan dengan Nabi-Nabi yang tertentu dan pencapaian kesedaran yang tertentu. Pergerakan Ruh seseorang Salik menerusi kegiatan Zikrullah dan Muraqabah akan membawanya dari satu lingkaran alam ke suatu lingkaran alam yang lain dalam alam semesta ini secara mendaki.

Gambaran ini seterusnya akan memperlihatkan kepada kita kaitan perhubungan yang berselari dan bertentangan antara tubuh badan manusia dan alam semesta, antara Alam Fana dan Alam Baqa, antara Jasmani dan Ruhani, antara Para Awliya dan Para Anbiya, antara Kewalian dan Kenabian, antara bayang-bayang dan hakikat kebenaran, antara Sifat dan Zat, antara cahaya tubuh dan jasad tubuh yang kesemuanya digambarkan secara menegak.

DAERAH IMKAN


DAERAH IMKAN

Seluruh ciptaan Allah  dapat digambarkan di Alam Mitsal sebagai berada dalam sebuah lingkaran bulat Daerah Imkan. Daerah Imkan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq. Kedua-dua alam ini mempunyai suatu perbandingan yang selari dengan Alam Saghir dan Alam Kabir dengan dipisahkan oleh suatu pengantara iaitu Qalb di antara Alam Saghir dan Alam Kabir, dan 'Arash Mu'alla yang kedudukannya di antara Alam Amar dan Alam Khalaq. Ianya digambarkan dengan perkaitan antara dua alam yang bertentangan iaitu antara Alam Amar yang bersifat kekal dan Alam Khalaq yang tidak kekal, antara Alam Kabir dan Alam Saghir dengan merujuk kepada perkaitan antara alam semesta dan manusia.

Dengan mensucikan Lataif Alam Amar di dada, pandangan batin seseorang akan dibukakan untuk memandang cahaya suci yang akan memperlihatkan kepadanya gambaran seluruh alam menerusi pandangan Kashaf Batin dan akan dibukakan kepadanya pengetahuan tentang seluruh Alam Amar. Dalam rangka usaha untuk menuju Fana Fillah, apa yang telah dinyatakan ini adalah merupakan sebagai suatu langkah permulaan.

Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi  dalam memperjelaskan peta perjalanan Ruhani telah berkata bahawa apabila kelima-lima Lataif Alam Amar telah sempurna disucikan, maka kelima-lima Lataif Alam Khalaq juga akan turut disucikan dengan sendirinya mengikut turutan dan seterusnya menyempurnakan penjelajahan Daerah Imkan.

Perjalanan Ruh sepertimana yang telah dijelaskan mendedahkan kepada kita jalan penghasilan Ruhaniah yang tersusun menurut teori alam semesta Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi . Perjalanan pertama adalah menempuh keseluruhan Alam Amar dan langkah seterusnya adalah menempuh Alam Khalaq.

Menurut Para Masyaikh Kibar Naqshbandiyah Mujaddidiyah , penyucian Alam Khalaq akan berlaku dengan sendiri setelah penyucian Alam Amar disempurnakan.

SYARAT MURAQABAH


SYARAT MURAQABAH

Syarat yang paling utama dalam Muraqabah adalah pengulangan dalam perantauan Ruhani. Setelah merantau jauh, lalu dia kembali dan kemudian mengulangi perantauannya ke tahap dimensi keruhanian yang lebih jauh. Pengulangan amalan ini merupakan suatu usul yang penting bagi mencapai kesempurnaan untuk membawa Ruh ke lingkaran-lingkaran alam yang lebih tinggi.

Setiap tahap dalam lingkaran-lingkaran ini memiliki nama dan sifat-sifatnya yang tersendiri. Turutannya adalah dari Hadhrat Zat  lalu menerusi Sifat-Sifat dan seterusnya melalui paparan Bayangan Sifat-Sifat dan seterusnya menempuh Bayang-Bayangan Sifat-Sifat Allah . Bayangan adalah diibaratkan seperti pantulan atau biasan dari cermin.

Setiap tahap akan membawa Salik menuju Ma'rifat dan merasai kesan pendekatan dan cinta terhadap ZatNya . Kesan-kesan ini terhasil menerusi cahaya limpahan Faidhz yang merupakan kurniaan dari Allah  ke dalam hati dan menghasilkan Ma'rifat tentangNya. Cahaya limpahan Faidhz adalah ibarat sinar yang dapat menerangi kegelapan hati.

Sebanyak mana cahaya limpahan Faidhz itu terhasil, maka sebanyak itulah penghasilan Ma'rifat yang diperolehi dari Allah . Dengan limpahan Nur Faidhz juga akan terhasilnya ilmu pengetahuan yang langsung dari Allah  sepertimana Wahyu kepada Para Nabi dan Ilham kepada Para Mukmin.

Syarat yang kedua ialah mengembalikan setiap Latifah kepada asal-usulnya. Ruh telah diciptakan semenjak permulaan masa dan telah dikumpulkan di Alam Arwah sehinggalah saat ketentuan Allah  untuk mengeluarkannya ke Alam Duniawi, kemudian menggabungkan kewujudannya dengan tubuh badan sehingga apabila dia telah dilahirkan, segala pengetahuannya tentang Allah  menjadi lupa dan hilang. Tujuan Para Sufi  adalah mendatangkan kembali segala ilmu pengetahuan Ruh tentang Tuhan Pemeliharanya yang haqiqi dan seterusnya terus maju menuju KehadhratNya . Perjalanan Ruhaniah adalah bergerak menuju ke arah atas dari Daerah Imkan menerusi Daerah Kewalian dan seterusnya ke Daerah Kesempurnaan Kenabian, dari Alam Bayangan menerusi Alam Asma dan Sifat menuju ke Alam Hadhrat Zat  dan kemudian kembali semula ke bawah untuk bergabung dengan tubuh badan dalam mencapai kesempurnaan sebagai Insan.

TAHAP MURAQABAH


TAHAP MURAQABAH

Menurut Hadhrat Shah Waliyullah Dehlawi , amalan Muraqabah adalah suatu keunggulan khas bagi Tariqat Naqshbandiyah. Apabila seseorang Murid yang Salik maju dengan amalan Muraqabah, maka dia akan mampu berjalan dalam Kehadiran Zat Allah . Muraqabah adalah suatu kaedah atau teknik khas bagi menghasilkan rasa kehadiran tersebut. Amalan keruhanian sering melibatkan tiga tahap:

1. Tawajjuh - Penumpuan - Konsentrasi
2. Tafakkur - Perenungan - Meditasi
3. Muraqabah - Penghayatan - Kontemplasi

Tahap pertama adalah memusatkan fikiran, seperti tindakan seseorang mempertajamkan pensil. Tahap kedua adalah merenungkan serta berfikir secara mendalam seperti seorang yang belajar membentuk huruf-huruf. Tahap ketiga adalah penghayatan, seperti seorang yang menulis kata-kata dan kalimat. Untuk Para Naqshbandi, tahap-tahap ini adalah sesuai dengan amalan Zikir Qalbi Ismu Zat, Nafi Itsbat dan Muraqabah. Terdapat dua puluh enam penghayatan Muraqabah yang berbeza dalam sistem Suluk Naqshbandi Mujaddidi yang kesemuanya disebut sebagai Muraqabat.

Para Masyaikh Naqshbandiyah Mujaddidiyah  telah mentakrifkan amalan Muraqabah sebagai menunggu Latifah untuk menarik limpahan tenaga Faidhz dari Allah .

Dalam kata-kata Hadhrat Khwajah Khurd  putera Hadhrat Khwajah Baqi Billah ,
"Muraqabah adalah meninggalkan kuasa dan kekuatan seseorang, berpaling dari segala hal dan keadaan menunggu dengan harapan pertemuan, sementara hati rindu dengan keindahan dan kerana direndam dalam keinginan dan cinta." Hadhrat Syeikh Sa'aduddin Kashghari  dalam menggambarkan bagaimana Hadhrat Junaid Baghdadi  telah diajarkan kaedah melakukan Muraqabah oleh seekor kucing, iaitu menunggu dengan penuh perhatian yang sepenuhnya seperti kucing yang siap sedia untuk menerkam tikus. Para Masyaikh Naqshbandiyah Mujaddidiyah  menggambarkan alam semesta dengan beberapa lingkaran bulat sebagai pemetaan Wujud antara alam Hadhrat Zat  dan alam ciptaan. Jalan Naqshbandi untuk menuju kepada Allah  yang dijelaskan oleh serangkaian niat dalam pelbagai jenis Muraqabah adalah sebagai suatu peta jalan yang lebih terperinci bagi perjalanan Ruhani untuk menuju kehadiran bersama HadhratNya secara berterusan.
Medan-medan keruhanian, rangkaian manifestasi penzahiran antara Hadhrat Zat  dan Alam Jasmani serta jalan untuk menempuh daerah keruhanian ini adalah secara menegak yakni secara Vertikal menuju ke arah atas, yang mana akan diterangkan secara terperinci kesemua tahapnya menerusi dua puluh enam tingkatan Muraqabah.

Perjalanan Ruh dari Alam Jasmani naik ke arah Hadhrat Zat dinyatakan sebagai 'Uruj yang bermaksud pendakian. Ia adalah sebuah perkataan yang memiliki akar huruf yang sama dengan perkataan Mi'raj iaitu perjalanan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah  di tengah malam naik ke langit. Perjalanan Ruh dari Alam Hadhrat Zat turun ke arah Alam Jasmani dinyatakan sebagai Nuzul yang bermaksud penurunan.

Sebelum seseorang Salik menempuh perjalanan Ruhaniah melalui amalan Muraqabah, Jami'iyat Zikrullah yakni himpunan keseluruhan zikir pada keseluruhan Latifah diibaratkan sebagai sebuah kenderaan dan Zikir Nafi Itsbat diibaratkan sebagai memanaskan enjin telah pun dilakukan di bawah pengawasan yang ketat seseorang Syeikh atau Guru Murshid.

AHWAL MURAQABAH


AHWAL MURAQABAH

Setelah seseorang Salik menerima bimbingan dari seseorang Murshid dia perlu melapangkan masanya bagi melepaskan diri dari sebarang ikatan Duniawi untuk memberikan penumpuan terhadap pusat-pusat halus pada tubuh badan.

Amalan demikian dinamakan sebagai Tafakkur atau Meditasi. Tafakkur membawa ke arah cahaya Ma'rifah dan sebagai suatu batu loncatan dalam jalan menuju pendekatan Qurbah Kehadhrat Zat Allah .

Ketika Salik melepaskan dirinya dari sebarang ingatan terhadap yang lain dan duduk menunggu limpahan keberkatan Faidhz, dalam kadar cepat atau lambat, Salik akan mulai merasa beberapa jenis kegiatan berlaku di dalam batinnya. Kadang-kadang terasa panas dan adakalanya terasa sejuk, kadang-kadang terasa bagaikan ada sesuatu yang bergetar dan adakalanya pula terasa gementar.

Salik tidak perlu menumpukan pada sebarang bentuk hal-hal keruhanian atau pada warna hati kerana perhatian hanya harus diarahkan kepada Hadhrat Zat Allah  yang melampaui segala rupabentuk dan darjat kedudukan.

Bagi melatih amalan ini, seseorang Salik perlu duduk bertawajjuh, bertafakkur dan bermuraqabah selama paling kurang lima belas hingga empat puluh lima minit dan tiada sebarang posisi duduk tertentu yang ditetapkan. Salik boleh duduk dalam keadaan seperti di dalam Solat ataupun duduk secara bersila.

Pada awal Muraqabah, akan ada gangguan fikiran Nafs dalam diri dan ini adalah alasan semata-mata untuk kita berasa bimbang. Kita hendaklah sentiasa berusaha dengan penuh kesungguhan untuk membangunkan dan menghidupkan hati dengan ingatan Zikrullah.

Setelah hati terbangun dari tidurnya, fikiran Nafs akan menjadi reda secara berperingkat. Akhirnya Salik akan mengalami perasaan terhanyut dan memasuki suatu dimensi yang berbeza. Terdapat perbezaan antara perasaan melayang dan tertidur. Perasaan melayang adalah bayangan Fana.

Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi  bagi mengisyaratkan keadaan ini telah berkata,
"Ia datang dan ia akan membawa kamu pergi."

Dalam tidur, Ruh lebih cenderung terhadap alam rendah dan mencari perlindungan di dalam Qalb. Ketika dalam keadaan sedang melayang, Ruh lebih cenderung terhadap alam tinggi dan mengambil perlindungan di dalam Nafs. Ketika dalam keadaan melayang, Salik akan hilang rasa kesedaran tentang dirinya. Dalam keadaan ini juga Para Salik boleh mengalami pandangan Musyahadah Batin yang dikenali sebagai Kashaf.

Sebagaimana pada lazimnya, adalah menjadi suatu kemungkinan bagi Para Salik untuk berfikir tentang unjuran kemajuan dalam perjalanan Ruhaninya, namun tiada sebarang kepentingan harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman Kashaf ini.

Hadhrat Imam Rabbani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi  berkata,

"Segala pengalaman ini hanyalah untuk menyenangkan hati Para Salik. Maksud yang akhir masih berada jauh di hadapan."

Hadhrat Khwajah 'Alauddin 'Attar  menegaskan bahawa Muraqabah adalah lebih berkesan daripada amalan Zikir Nafi Itsbat. Menerusi Muraqabah akan memungkinkan seseorang Salik untuk mencapai maqam sebagai Khalifah Allah  dalam KerajaanNya di Alam Jasmani dan Alam Ruhani.

TASAWWUR SYEIKH


TASAWWUR SYEIKH

Hadhrat Syeikh At-Turki  telah menyatakan dalam mensyarahkan kitab karangannya "An-Nazm Al-'Atid" yang berjudul "Irgham Al-Marid", pada membicarakan tentang Hadhrat Khwajah Khwajagan Maulana Khwajah 'Ubaidullah Ahrar  Qaddasallahu Sirrahu Al-Aziz, katanya,

"Beliau ini adalah salah seorang yang mana Tariqat Naqshbandiyah menjadi terkenal dan orang pertama yang menunjukkan bahawa ayat:

Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah  dan hendaklah kamu bersama orang-orang Sadiqin yang benar. [9:119]

Bertaqwa kepada Allah  dan perintah untuk bersama-sama dengan orang-orang Siddiqin yang benar dalam perkataan dan perbuatan adalah dalil bagi pengamalan Rabitah. Ramai Para 'Alim 'Ulama telah melaporkan pendapat ini daripada beliau."

Pada zaman kita ini, sebahagian orang malas dan jahil tidak mengerti tentang perkara Rabitah. Tiada sebarang laporan dari Para Salaf atau Para Khalaf  yang menolak amalan Rabitah. Bahkan, terdapat laporan yang menyokong dalam permasalahan ini. Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband  telah berkata kepada muridnya yang juga Khalifah dan merupakan sahabatnya, Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa  seperti yang dinyatakan dalam "Rashahat 'Ain Al-Hayat" bahawa,

"Rabitah adalah membayangkan wajahnya untuk suatu masa."

Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar  dan Para Masyaikh Akabirin Naqshbandiyah Mujaddidiyah  dan bahkan ramai Para Masyaikh dari Silsilah Tariqat yang lain seperti Tariqat Shadziliyah, Chistiyah, Qadiriyah dan Suhrawardiyah juga turut mengamalkannya dan amalan Rabitah ini tidak hanya dikenali di dalam Tariqat Naqshbandiyah.

Hadhrat Al-Kautsari  telah menyatakan di dalam fatwanya bahawa,

"Segala sesuatu berada di dalam mata saya. Rabitah tidak boleh bermaksud apa-apa selain sebagai membayangkan berada dengan Syeikh atau membayangkan wajah Syeikh." Hadhrat Imam Razi  dan Hadhrat Muhaqqiq Taftazani  berkata, bahawa orang yang melawat makam perkuburan Para Awliya Allah  hendaklah menghadapkan Ruhaniahnya ke arah Ruhaniah Wali yang berada di dalam kubur tersebut untuk mendapatkan limpahan Faidhz dalam pekerjaan mereka. Hadhrat 'Allamah Jami'  dalam kitabnya, "Syarah Ruba'iyyat", Hadhrat 'Allamah Nablusi  dalam kitabnya seperti "Jami' As-Saghir", Syarih 'Allamah 'Abdur Rauf Al-Munawin  dalam kitabnya "Al-Jawharah Al-Fakhirah Fi Ma' rifati Asl At-Tariqi Ila Malik Ad-Dunya Wa Al-Akhirah", Hadhrat Imam Sha'rani  dan Imam Hadimi  dan para sarjana dalam banyak risalah kecil mereka telah berbicara tentang perlunya Rabitah beserta kepentingannya.

Imam dan pemimpin dalam Ilmu Usul dan Furu', 'Allamah Sadr Asy-Syariah Al-Hanafi  berkata dalam kitabnya "Tadil Al-'Ulum" bahawa,

"Adalah perlu bagi seseorang Salik melakukan Rabitah. Jadi bolehkah seseorang yang bijak pandai pada zaman ini berfikir bahawa Para Masyaikh Tariqat  yang terdahulu telah mempermainkan undang-undang Syari'ah? Tentu sekali tidak kerana sesungguhnya mereka adalah jauh dari sangkaan yang sedemikian itu. Bahkan, siapakah orang-orang yang mengingkari Rabitah yang telah mencapai tahap kedudukan berada pada martabat orang-orang yang menerima amalan Rabitah?" Hakimul Ummat Hadhrat Maulana Ashraf 'Ali Thanwi  telah membenarkan amalan Rabitah ketika beliau menyebutkan dalam karangan kitabnya yang berjudul "At-Takasshaf" dengan jawapan secara terperinci.
Antara manfaat yang telah disenaraikan bagi amalan ini adalah bagaimana ianya membolehkan seseorang Murid untuk bercermin dengan Ahwal Guru Murshidnya. Tiada sebarang kenyataan dari beliau yang menegah serta menganggapnya sebagai syirik atau tidak dibenarkan di dalam Islam.

Begitu juga, Hadhrat Syaikhul Hadits Maulana Muhammad Zakariyya Kandhlawi  memiliki seluruh penjelasan berkenaan Rabitah di dalam karyanya "Syari'at Aur Tariqat Ka Talazim", beliau telah menyatakan,

"Tasawwur Syeikh yakni menggambarkan wajah Syeikh adalah suatu amalan yang disebut juga sebagai Rabitah atau Barzakh dan Wasitah. Ini adalah amalan yang sangat penting di kalangan Para 'Ulama yang berada atas jalan keruhanian dan mereka telah berusaha memaparkan segala manfaat-manafaatnya yang berlimpah-limpah. Terdapat sebilangan Para Masyaikh  terdahulu yang melarang amalan Rabitah ini tanpa sebarang syarat. Namun menurut pandangan daku, ini adalah tidak benar kerana amalan Tasawwur Syeikh telah dinyatakan dalam banyak riwayat. Jesteru, daku tidak mengerti mengapakah mereka telah melarang amalan ini tanpa syarat?"

Hadhrat Syaikhul Hadits Maulana Zakariyya Kandhlawi  seterusnya membincangkan alasan untuk Khilaf yang sebenarnya adalah kerana terdapatnya halangan hijab dalam memahami maksud dan pendapat dari Para Masyaikh  yang terdahulu seperti Hadhrat Maulana Madani  dan Hadhrat Maulana Shah 'Abdul Ghani Mujadidi  yang membenarkan amalan ini dan telah menyatakan manfaat dan kelebihannya.

Umat Islam pada umumnya sedang menghadapi kemunduran dan penyakit Ruhaniah yang tak terbanding dalam sejarah peradaban manusia dan satu-satunya cara untuk menyembuhkan segala penyakit Ruhaniah dan memajukan Ummat Islam adalah melalui Tasfiyah Qalb dan Tazkiyah Nafs yakni penyucian Hati dan pensucian 'Aqal.

TARIQAT MUKTABAR


TARIQAT MUKTABAR

Adapun Tariqat Naqshbandiyah ini adalah satu daripada empat Maslak Tariqat utama dalam 'Ilmu Tasawwuf. Seperti halnya dengan empat Mazhab Syari'at utama dalam 'Ilmu Fiqah iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Shafi'iyah dan Hanbaliyah, begitulah juga terdapat empat Maslak Silsilah Tariqat Tasawwuf iaitu Qadiriyah, Chistiyah, Suhrawardiyah dan Naqshbandiyah. Ramai Para 'Alim 'Ulama dan Para Mashaikh Kiram  dalam setiap Tariqat telah menyebarkan ajaran dan amalan dalam Tariqat mereka. Semua Tariqat yang benar adalah sesuai dengan tuntunan Syari'ah dan Sunnah serta berpandukan kaedah pengajaran dan bimbingan Para Masyaikh  yang Salihin. Keempat-empat Tariqat ini telah memperolehi penerimaan di sisi Allah  dan ajaran mereka telah tersebar luas dan jauh ke seluruh empat penjuru alam. Walaupun terdapat usaha oleh segolongan pihak tertentu untuk mencemarkan nama baik golongan Sufiyyah, namun tariqat-tariqat ini tetap berkembang sehinggalah ke hari ini. Setiap Muslim haruslah berusaha dan benar bersemangat untuk mengenalpasti seorang Syeikh atau Guru Murshid yang berkelayakan daripada salah satu Tariqat tersebut dan mengikuti segala arahannya dalam hal dan urusan pemurnian hati demi menuju ke arah kesempurnaan Ruhani.

JENIS MURAQABAH


JENIS MURAQABAH

Para Masyaikh Tasawwuf  telah membahagikan amalan Muraqabah kepada beberapa jenis bergantung kepada sesuatu tujuan dan maksud. Terdapat banyak jenis Muraqabah yang diamalkan oleh Para Masyaikh  namun sebagai contoh hanya beberapa yang disebutkan di bawah ini: Muraqabah Dua'iyyah: Ini adalah jenis Muraqabah di mana hati dan fikiran seseorang merenungkan segala permohonan doanya dan segala kata-kata zikirnya yang diucapkan dari hatinya, bukan lidahnya. Muraqabah Maut: Ini adalah jenis Muraqabah di mana seseorang duduk dalam pengasingan, menutup mata dan merenungkan tentang kematian dan keadaan yang akan berlaku sesudah kematian, membayangkan bahawa Ruhnya sedang dicabut dari tubuh badan, dimandikan orang, dikafankan orang, disembahyangkan orang dan dihantarkan orang akan jenazahnya ke dalam liang lahad. Muraqabah Ru'uyah: Ini adalah jenis Muraqabah di mana seseorang yang duduk dalam pengasingan membayangkan bahawa Allah  sedang mengawasi dirinya sambil merenungkan pengertian ayat berikut,

Apakah dia tidak tahu bahawa sesungguhnya Allah  sentiasa mengawasi? [96:14] Muraqabah Ma'iyyah: Ini adalah jenis Muraqabah di mana seseorang membayangkan bahawa Allah  berada dengan dirinya sepanjang masa tanpa diketahui bagaimana keadaan KaifiyatNya. Namun, Allah  tidak mengambil sebarang bentuk atau rupa ketika seseorang itu mengalami Musyahadah di dalam Muraqabahnya.

Kesemua jenis Muraqabah tersebut adalah dibenarkan dalam Syari'at Islam dan merupakan amalan terpuji. Muraqabah tersebut akan membawa seseorang kepada pemantapan Tauhid dan pembentukan sifat diri yang dikehendaki iaitu tahap Ihsan yang tertinggi bagi menghasilkan Ma'rifat sebagai memenuhi tuntutan pengabdian terhadapNya sepertimana yang Allah  telah nyatakan dalam ayat berikut,

"Dan Aku tidak menciptakan Jin dan Insan melainkan supaya mereka menyembahKu." [51:56]

TAKRIF MURAQABAH


TAKRIF MURAQABAH

Perkataan Muraqabah berasal dari akar huruf Ra, Qaf dan Ba.

ﺭ ﻕ ﺏ = ﺭﻗﺐ ﻳﺮﻗﺐ

Raqaba - Yarqubu

Menurut pengertian bahasa Arab, perkataan Muraqabah bererti mengamati, mengawasi, memandang sepenuh perhatian, memerhatikan, menunggu, memastikan, melindungi, memelihara dan menjaga. Pada pengertian istilah kaum Sufiyyah, Muraqabah adalah untuk melepaskan diri dari sebarang ikatan dan takluk Duniawi untuk jangka masa tertentu dengan tujuan memelihara Ruhani setelah menerima bimbingan dari Syeikh atau Guru Murshidnya. Perlaksanaannya adalah dengan menyedari bahawa dalam batin manusia terdapat pusat-pusat kesedaran yang halus.

Menurut istilah Syari'ah, Muraqabah adalah merujuk kepada menyelia dan meneliti segala kegiatan Nafs dalam diri Batin seseorang dengan beberapa bentuk kaifiyat Zikir Khafi yang tertentu dalam usaha untuk membawa Nafs selaras dengan mematuhi perintah dan kemahuan Allah . Pada dasarnya, perkataan Muraqabah ini berasal dari ayat Firman Allah :

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri dan daripadanya Allah  menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah  telah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak, dan bertaqwalah kepada Allah  yang dengan mempergunakan NamaNya kamu saling meminta antara satu sama lain dan peliharalah hubungan Silaturrahim. Sesungguhnya Allah  selalu menjaga dan mengawasi kamu. [4:1] Menurut Jumhur Mufassirin  berdasarkan Hadits riwayat Bukhari dan Muslim, Allah  telah menciptakan Hadhrat Hawa  dari bagian tubuh tulang rusuk Hadhrat Nabi Adam .

Ada juga Para Mufassirin yang menafsirkan bahawa Allah  telah menciptakannya dengan unsur yang serupa iaitu tanah yang daripadanya Hadhrat Nabi Adam  telah diciptakan. Menurut kebiasaan orang Arab apabila mereka menanyakan sesuatu atau meminta sesuatu pada orang lain, mereka akan mengucapkan Nama Allah  seperti: "As-aluka Billah", ertinya daku bertanya atau meminta kepadamu dengan Nama Allah .

"Sesungguhnya Allah  atas kamu adalah Maha Mengawasi." [4:1]

"Tidaklah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah  sedang melihat segala perbuatannya?" [96:14] Ketahuilah bahawa Allah  sentiasa mengawasi segala perbuatan dan tingkah-laku kita sama ada kita sedar ataupun tidak menyedarinya. Amalan Muraqabah hendaklah dilakukan dengan mengosongkan fikiran dari segala ingatan yang selain Allah . Setelah itu, hendaklah mengarahkan pandangan Ruhani dan perhatian yang sepenuhnya secara khusus terhadap Allah .

Salik hendaklah bertafakkur memikirkan bahawa Allah  selalu mengawasi dan setia dalam pengawasanNya terhadap setiap pergerakan, perbuatan dan lintasan fikiran yang terlintas dalam benak fikiran hamba-hambaNya, bahkan seluruh Khalaiq ciptaanNya. Apabila tumpuan fikiran Salik menjadi kukuh dan teguh dalam dirinya, maka dia dikatakan telah mencapai tahap Ihsan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Hadits Jibril .

Hadhrat Jibril  telah bertanya kepada Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah , "Apakah itu Ihsan?" Baginda Rasulullah  menjawab, "Iaitu adalah bahawa kamu menyembah Allah  seolah-olah kamu sedang melihatNya, dan jika kamu tidak dapat melihatNya, maka hendaklah kamu ketahui bahawa Dia sedang melihatmu." Apabila seseorang hamba sudah tertanam dalam pemikirannya bahawa Allah  yang mengawasi setiap pergerakan dan pemikirannya, maka bagaimanakah seorang hamba yang seperti ini dapat dibayangkan melakukan dosa meskipun yang paling ringan? Lebih jauh lagi, hamba tersebut akan menyembah Allah  dengan penuh perhatian, penghormatan dan dengan takluk keasyikan yang merupakan tujuan dasar kehidupan Insan.

MENCAPAI IHSAN


MENCAPAI IHSAN

Langkah pertama dalam pengawasan diri untuk mencapai Ihsan adalah penyerahan secara sukarela pada segala kehendak Allah  dan yakin dengan penuh harapan bahawa Allah  sentiasa hadir di mana-mana dan mengetahui semua fikiran, niat dan perbuatan kita.

Dan adalah Allah  Maha Mengawasi atas segala sesuatu. [33:52]

Langkah kedua adalah untuk kembali kepada Allah  dengan hati yang tenang dan sabar sambil menjangka aliran limpahan kurniaan Faidhz dan Rahmat Allah  ke dalam hati seseorang. Ini tidak memerlukan pembacaan rutin Ismu Zat iaitu lafaz sebutan Nama Allah (ﷲ) . Namun jika seseorang ingin mengikuti Kaifiyat yang teratur ketika menyebut NamaNya sesuai dengan panduan Syari'at semasa bermuraqabah, tentunya akan menjadi jauh lebih baik.

Setelah memulakan kedua-dua langkah tersebut, hendaklah bertindak sesuai dengan maksud Hadits Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah :

"Ihsan adalah kamu menyembah Allah  seolah-olah kamu melihatNya, maka jika kamu tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia sedang melihatmu." Hendaklah selalu merasakan bahawa dirinya sendiri sebagai tidak berdaya, fakir dan miskin di hadapan Allah . Percaya dan yakin kepada ZatNya  yang menjadi titik tunggal tempat dan sumber pergantungan bagi sekelian makhluk. Salik dapat berpergian walau ke mana pun dengan aman dan tenteram atas jalan pengawasan dan pengendalian diri ini dan seterusnya selamat dari sebarang penyimpangan walau di mana jua mereka berada. Mereka yang mengikuti jalan sedemikian akan mencapaikan kedamaian dan kejernihan hati nurani yang akan membolehkannya sentiasa terbuka untuk menerima limpahan kurniaan hadiah dan limpahan cahaya seri dari Zat Allah  Yang Maha Suci.

Perkara penting dalam proses pengendalian diri adalah amalan Muhasabah iaitu menyemak dan mencela diri sendiri atas segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Kaedah ini membolehkan seseorang Salik mula untuk menyedari kesalahan peribadi dan menyebabkan mereka mula mencari kebenaran di dalam hati, kemudian memaparkan dalam perbuatan dan kehidupan mereka seharian.

Seseorang yang menyedari pengertian ini akan dapat memahami bahawa Allah  Yang Maha Suci sentiasa melihatnya, mengetahui tempat dan kedudukannya serta mendengar segala ucapannya. Orang-orang seperti ini tahu bahawa mereka selalu di bawah kawalan dan pengetahuan Allah  yang akan menjaga dan memelihara mereka. Tanpa menghiraukan sebarang tempat mahupun tindakan, tujuan mereka hanya mencari keridhaan Allah  dengan sentiasa cuba berusaha untuk bertindak sesuai dengan keinginan dan kemahuanNya. Muraqabah mengarah kepada semua peringkat kesempurnaan.

Meskipun dalam ketertiban amalan Para Masyaikh Akabirin Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah  yang sentiasa melakukan amalan Zikrullah, Salawat dan pembacaan Al-Quran, namun Muraqabah adalah bahagian yang paling penting dalam pekerjaan amal mereka. Asal amalan Muraqabah adalah berdasarkan mafhum perkataan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah ,

"Bahawa hendaklah kamu menyembah Allah  seolah-olah kamu sedang melihatNya, namun jika kamu tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia sedang melihat kamu."

KELEBIHAN MURAQABAH


KELEBIHAN MURAQABAH

Muraqabah dapat membentuk peribadi seseorang lelaki mahupun wanita sehingga mereka dapat membuang ingatan tentang segala sesuatu yang boleh membahayakan Iman dan 'Ibadah mereka dan dapat mempertahankan kemurnian fikiran, tindakan dan niat mereka, bahkan ketika bersendirian pun mereka akan tetap dalam kesedaran pemerhatian yang terus-menerus terhadap Hadhrat ZatNya .

Muraqabah adalah suatu cara yang paling penting, sangat berkesan dan dapat langsung mencapai kesedaran tentang Ketuhanan meskipun tanpa sebarang panduan. Muraqabah merupakan jalan penyucian semua Para Nabi dan Rasul 'Alaihimus Solatu Wassalam yang telah menghadapi kesukaran dalam menyampaikan seruan Dakwah peringatan dari Allah  kepada kaum mereka yang tidak mahu mengikuti perintah penyucian Ruhani. Menerusi Muraqabah, seseorang Salik dapat sentiasa kembali kepada Allah  pada setiap masa atau tempat dengan kesedaran bahawa dirinya tidak berdaya dan faqir serta mengaku tentang pertemuan peribadi denganNya berdasarkan keperluan Ruhani mereka.

Mereka juga dapat merasakan pengawasan yang berterusan oleh Allah  sementara mereka sedang mengawasi alam dalam diri mereka sendiri dan mengelakkan sebarang ingatan apa pun yang selain dariNya. Mereka tuli terhadap semua suara-suara yang tidak berkaitan dengan Allah . Mereka memujiNya atas segala Keindahan dan KeagunganNya serta menganggap sebagai tidak berguna sesuatu yang tidak peduli dengan ZatNya.

Jika mata seseorang tidak ingat bahawa keupayaannya untuk melihat, telinganya untuk mendengar dan lidahnya untuk berucap, maka bagaimanakah anggota-anggota pancaindera ini akan dapat dipergunakan selain sebagai serpihan daging pada badan? Hadhrat Maulana Jalaluddin Rumi  berkata:

"Allah  menggambarkan dirinya sebagai Yang Maha Melihat dalam rangka untuk memperingatkan kamu dalam melawan kejahatan, Dia menggambarkan diriNya sebagai Yang Maha Mendengar lalu menegur kamu dan tidak mengatakan apa-apa yang buruk, dan Dia menggambarkan diriNya sebagai Yang Maha Mengetahui untuk memberitahu kamu bahawa Dia mengetahui tentang kamu dan kerana untuk menasihati kamu supaya berwaspada terhadap fikiran dan pertimbangan yang buruk."

Hadhrat Maulana Jalaluddin Rumi  menganggap pengawasan diri sebagai paparan melindungi diri dari emosi, fikiran, keghairahan dan tindakan yang jahat serta menganggap itulah cara yang paling selamat untuk memperhatikan hak-hak Allah .

AMALAN MURAQABAH


AMALAN MURAQABAH

Amalan Muraqabah dapat ditakrifkan sebagai mengawasi, menjaga, menyelia, mengawal, memerhati dan hidup dalam kesedaran bahawa diri sentiasa dikawal oleh Allah . Para Sufi  yang mulia telah menjelaskan hal ini secara lebih lanjut dengan mentakrifkannya sebagai tatacara hati seseorang Salik yang hanya tertumpu kepada Allah  lalu meninggalkan sebarang ingatan terhadap sesuatu apa pun yang selain Allah  serta memelihara dirinya dari segala larangan Allah  dan bertindak dengan kepastian bahawa pengetahuan Allah  meliputi segala sesuatu dan seterusnya menjalani kehidupan dengan menuruti segala perintahNya.

Muraqabah juga boleh ditafsirkan sebagai berusaha mengamati apa yang dikehendaki oleh Allah  dan memimpin kehidupan seharian dalam kesedaran pengawasan diri yang berterusan secara teguh dan penuh ketulusan. Sikap seperti ini akan terhasil apabila seseorang hamba mengetahui bahawa Allah  Yang Maha Berkuasa sentiasa menyedari serta mengetahui semua perbuatan yang dilakukan olehnya, semua ucapannya, segala pengetahuannya dan fikirannya sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Al-Quran Al-Majid:

Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari Al-Quran dan kamu tidak mengerjakan sesuatu pekerjaan pun melainkan Kami menjadi saksi atasmu sewaktu kamu sedang melakukannya, tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah di bumi ataupun di langit, tidak ada yang lebih kecil dan tidak ada pula yang lebih besar dari itu melainkan semuanya tercatat dalam kitab yang nyata Lauh Mahfuzh. [10:61]

Walau dalam keadaan apa pun kita mungkin berada dan walau sebanyak mana pun ayat-ayat suci Al-Quran yang mungkin kita baca dan walau apa jua perbuatan pun yang mungkin kita lakukan, Allah  sentiasa menjadi saksi atas diri kita sewaktu kita sedang asyik melakukannya.

Jika Muraqabah bererti menutup hati dari segala yang selainNya serta memisahkan ingatan terhadap segala sesuatu yang selain dariNya dan membuka semangat untuk menerima limpahan kurniaan Faidhz dan nikmat yang datang dari sisiNya, maka kita perlulah menutup apa yang harus ditutup dan membuka apa yang harus dibuka. Langkah-langkah pengamalan Muraqabah adalah untuk menganggap dan menerima sebagai besar apa yang telah ditetapkan oleh Allah  sebagai besar, menerima sebagai tidak berharga apa yang telah ditetapkanNya sebagai tidak berharga dan lebih memilih kehendak dan keinginan Allah  atas segala kehendak dan keinginan diri sendiri. Berfikir dengan lebih mendalam tentang Allah  akan meningkatkan limpahan Faidhz kurniaan Rahmat Allah  dan menguatkan cinta seseorang terhadap Zat Allah  dan keinginan untuk menyembahNya dengan hati yang ikhlas dan takut serta gentar terhadapNya yang mana akan menyebabkan seseorang itu kehilangan nafsu dan selera makan kerana mengenangkan dosa-dosanya yang silam dan dia akan menjalani kehidupannya dengan lebih berhati-hati.