Ahad, 14 Ogos 2011

TAKRIF MURAQABAH


TAKRIF MURAQABAH

Perkataan Muraqabah berasal dari akar huruf Ra, Qaf dan Ba.

ﺭ ﻕ ﺏ = ﺭﻗﺐ ﻳﺮﻗﺐ

Raqaba - Yarqubu

Menurut pengertian bahasa Arab, perkataan Muraqabah bererti mengamati, mengawasi, memandang sepenuh perhatian, memerhatikan, menunggu, memastikan, melindungi, memelihara dan menjaga. Pada pengertian istilah kaum Sufiyyah, Muraqabah adalah untuk melepaskan diri dari sebarang ikatan dan takluk Duniawi untuk jangka masa tertentu dengan tujuan memelihara Ruhani setelah menerima bimbingan dari Syeikh atau Guru Murshidnya. Perlaksanaannya adalah dengan menyedari bahawa dalam batin manusia terdapat pusat-pusat kesedaran yang halus.

Menurut istilah Syari'ah, Muraqabah adalah merujuk kepada menyelia dan meneliti segala kegiatan Nafs dalam diri Batin seseorang dengan beberapa bentuk kaifiyat Zikir Khafi yang tertentu dalam usaha untuk membawa Nafs selaras dengan mematuhi perintah dan kemahuan Allah . Pada dasarnya, perkataan Muraqabah ini berasal dari ayat Firman Allah :

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri dan daripadanya Allah  menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah  telah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak, dan bertaqwalah kepada Allah  yang dengan mempergunakan NamaNya kamu saling meminta antara satu sama lain dan peliharalah hubungan Silaturrahim. Sesungguhnya Allah  selalu menjaga dan mengawasi kamu. [4:1] Menurut Jumhur Mufassirin  berdasarkan Hadits riwayat Bukhari dan Muslim, Allah  telah menciptakan Hadhrat Hawa  dari bagian tubuh tulang rusuk Hadhrat Nabi Adam .

Ada juga Para Mufassirin yang menafsirkan bahawa Allah  telah menciptakannya dengan unsur yang serupa iaitu tanah yang daripadanya Hadhrat Nabi Adam  telah diciptakan. Menurut kebiasaan orang Arab apabila mereka menanyakan sesuatu atau meminta sesuatu pada orang lain, mereka akan mengucapkan Nama Allah  seperti: "As-aluka Billah", ertinya daku bertanya atau meminta kepadamu dengan Nama Allah .

"Sesungguhnya Allah  atas kamu adalah Maha Mengawasi." [4:1]

"Tidaklah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah  sedang melihat segala perbuatannya?" [96:14] Ketahuilah bahawa Allah  sentiasa mengawasi segala perbuatan dan tingkah-laku kita sama ada kita sedar ataupun tidak menyedarinya. Amalan Muraqabah hendaklah dilakukan dengan mengosongkan fikiran dari segala ingatan yang selain Allah . Setelah itu, hendaklah mengarahkan pandangan Ruhani dan perhatian yang sepenuhnya secara khusus terhadap Allah .

Salik hendaklah bertafakkur memikirkan bahawa Allah  selalu mengawasi dan setia dalam pengawasanNya terhadap setiap pergerakan, perbuatan dan lintasan fikiran yang terlintas dalam benak fikiran hamba-hambaNya, bahkan seluruh Khalaiq ciptaanNya. Apabila tumpuan fikiran Salik menjadi kukuh dan teguh dalam dirinya, maka dia dikatakan telah mencapai tahap Ihsan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Hadits Jibril .

Hadhrat Jibril  telah bertanya kepada Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah , "Apakah itu Ihsan?" Baginda Rasulullah  menjawab, "Iaitu adalah bahawa kamu menyembah Allah  seolah-olah kamu sedang melihatNya, dan jika kamu tidak dapat melihatNya, maka hendaklah kamu ketahui bahawa Dia sedang melihatmu." Apabila seseorang hamba sudah tertanam dalam pemikirannya bahawa Allah  yang mengawasi setiap pergerakan dan pemikirannya, maka bagaimanakah seorang hamba yang seperti ini dapat dibayangkan melakukan dosa meskipun yang paling ringan? Lebih jauh lagi, hamba tersebut akan menyembah Allah  dengan penuh perhatian, penghormatan dan dengan takluk keasyikan yang merupakan tujuan dasar kehidupan Insan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan