Ahad, 14 Ogos 2011
TAHAP MURAQABAH
TAHAP MURAQABAH
Menurut Hadhrat Shah Waliyullah Dehlawi , amalan Muraqabah adalah suatu keunggulan khas bagi Tariqat Naqshbandiyah. Apabila seseorang Murid yang Salik maju dengan amalan Muraqabah, maka dia akan mampu berjalan dalam Kehadiran Zat Allah . Muraqabah adalah suatu kaedah atau teknik khas bagi menghasilkan rasa kehadiran tersebut. Amalan keruhanian sering melibatkan tiga tahap:
1. Tawajjuh - Penumpuan - Konsentrasi
2. Tafakkur - Perenungan - Meditasi
3. Muraqabah - Penghayatan - Kontemplasi
Tahap pertama adalah memusatkan fikiran, seperti tindakan seseorang mempertajamkan pensil. Tahap kedua adalah merenungkan serta berfikir secara mendalam seperti seorang yang belajar membentuk huruf-huruf. Tahap ketiga adalah penghayatan, seperti seorang yang menulis kata-kata dan kalimat. Untuk Para Naqshbandi, tahap-tahap ini adalah sesuai dengan amalan Zikir Qalbi Ismu Zat, Nafi Itsbat dan Muraqabah. Terdapat dua puluh enam penghayatan Muraqabah yang berbeza dalam sistem Suluk Naqshbandi Mujaddidi yang kesemuanya disebut sebagai Muraqabat.
Para Masyaikh Naqshbandiyah Mujaddidiyah telah mentakrifkan amalan Muraqabah sebagai menunggu Latifah untuk menarik limpahan tenaga Faidhz dari Allah .
Dalam kata-kata Hadhrat Khwajah Khurd putera Hadhrat Khwajah Baqi Billah ,
"Muraqabah adalah meninggalkan kuasa dan kekuatan seseorang, berpaling dari segala hal dan keadaan menunggu dengan harapan pertemuan, sementara hati rindu dengan keindahan dan kerana direndam dalam keinginan dan cinta." Hadhrat Syeikh Sa'aduddin Kashghari dalam menggambarkan bagaimana Hadhrat Junaid Baghdadi telah diajarkan kaedah melakukan Muraqabah oleh seekor kucing, iaitu menunggu dengan penuh perhatian yang sepenuhnya seperti kucing yang siap sedia untuk menerkam tikus. Para Masyaikh Naqshbandiyah Mujaddidiyah menggambarkan alam semesta dengan beberapa lingkaran bulat sebagai pemetaan Wujud antara alam Hadhrat Zat dan alam ciptaan. Jalan Naqshbandi untuk menuju kepada Allah yang dijelaskan oleh serangkaian niat dalam pelbagai jenis Muraqabah adalah sebagai suatu peta jalan yang lebih terperinci bagi perjalanan Ruhani untuk menuju kehadiran bersama HadhratNya secara berterusan.
Medan-medan keruhanian, rangkaian manifestasi penzahiran antara Hadhrat Zat dan Alam Jasmani serta jalan untuk menempuh daerah keruhanian ini adalah secara menegak yakni secara Vertikal menuju ke arah atas, yang mana akan diterangkan secara terperinci kesemua tahapnya menerusi dua puluh enam tingkatan Muraqabah.
Perjalanan Ruh dari Alam Jasmani naik ke arah Hadhrat Zat dinyatakan sebagai 'Uruj yang bermaksud pendakian. Ia adalah sebuah perkataan yang memiliki akar huruf yang sama dengan perkataan Mi'raj iaitu perjalanan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah di tengah malam naik ke langit. Perjalanan Ruh dari Alam Hadhrat Zat turun ke arah Alam Jasmani dinyatakan sebagai Nuzul yang bermaksud penurunan.
Sebelum seseorang Salik menempuh perjalanan Ruhaniah melalui amalan Muraqabah, Jami'iyat Zikrullah yakni himpunan keseluruhan zikir pada keseluruhan Latifah diibaratkan sebagai sebuah kenderaan dan Zikir Nafi Itsbat diibaratkan sebagai memanaskan enjin telah pun dilakukan di bawah pengawasan yang ketat seseorang Syeikh atau Guru Murshid.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan