Ahad, 14 Ogos 2011

DAERAH IMKAN


DAERAH IMKAN

Seluruh ciptaan Allah  dapat digambarkan di Alam Mitsal sebagai berada dalam sebuah lingkaran bulat Daerah Imkan. Daerah Imkan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq. Kedua-dua alam ini mempunyai suatu perbandingan yang selari dengan Alam Saghir dan Alam Kabir dengan dipisahkan oleh suatu pengantara iaitu Qalb di antara Alam Saghir dan Alam Kabir, dan 'Arash Mu'alla yang kedudukannya di antara Alam Amar dan Alam Khalaq. Ianya digambarkan dengan perkaitan antara dua alam yang bertentangan iaitu antara Alam Amar yang bersifat kekal dan Alam Khalaq yang tidak kekal, antara Alam Kabir dan Alam Saghir dengan merujuk kepada perkaitan antara alam semesta dan manusia.

Dengan mensucikan Lataif Alam Amar di dada, pandangan batin seseorang akan dibukakan untuk memandang cahaya suci yang akan memperlihatkan kepadanya gambaran seluruh alam menerusi pandangan Kashaf Batin dan akan dibukakan kepadanya pengetahuan tentang seluruh Alam Amar. Dalam rangka usaha untuk menuju Fana Fillah, apa yang telah dinyatakan ini adalah merupakan sebagai suatu langkah permulaan.

Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi  dalam memperjelaskan peta perjalanan Ruhani telah berkata bahawa apabila kelima-lima Lataif Alam Amar telah sempurna disucikan, maka kelima-lima Lataif Alam Khalaq juga akan turut disucikan dengan sendirinya mengikut turutan dan seterusnya menyempurnakan penjelajahan Daerah Imkan.

Perjalanan Ruh sepertimana yang telah dijelaskan mendedahkan kepada kita jalan penghasilan Ruhaniah yang tersusun menurut teori alam semesta Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi . Perjalanan pertama adalah menempuh keseluruhan Alam Amar dan langkah seterusnya adalah menempuh Alam Khalaq.

Menurut Para Masyaikh Kibar Naqshbandiyah Mujaddidiyah , penyucian Alam Khalaq akan berlaku dengan sendiri setelah penyucian Alam Amar disempurnakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan