Ahad, 14 Ogos 2011
ALAM AMAR DAN KHALAQ
ALAM AMAR DAN KHALAQ
Alam ini tergambar di Alam Mitsal sebagai sebuah bulatan yang dinamakan sebagai Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat yang bermaksud suatu daerah keluasan yang mungkin bagi sekelian ciptaan Allah dan dibahagikannya kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq sebagai merujuk kepada saat terciptanya alam semesta. Allah mengucapkan perkataan "Kun" yang bererti "Jadilah" dan segala ciptaan pun mula tercipta. Ini merujuk kepada Alam Amar yang secara keseluruhannya wujud hanya dengan satu ucapan kalimah dari Allah . Ianya tercipta dengan hanya satu perintah, lantas ianya berlaku secara langsung tanpa sebarang perantaraan. Dengan hanya satu ucapan kalimah perintah dari Allah , Alam Amar ini telah diwujudkan dengan sempurna. Sebaliknya pada Alam Khalaq, penciptaan yang berlaku adalah "Bitadrij" yakni dengan secara berperingkat-peringkat dan akan berterusan sehingga ke akhir Dunia di Hari Qiyamat. Alam Dunia ini yang berada di bawah takluk Alam Khalaq mengandungi masa, siang, malam, hari, minggu, bulan dan tahun. Manakala, Alam Amar adalah bebas dari sebarang taklukan dengan masa.
Allah telah menciptakan alam semesta yang merangkumi langit dan bumi dalam enam hari atau enam tempoh masa yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, maka ianya bukan berlaku sempurna secara keseluruhan dengan satu perintah bahkan secara berperingkat-peringkat kerana manusia masih lagi datang dan pergi, dilahirkan dan dimatikan secara silih berganti.
Pada setiap Alam Amar dan Alam Khalaq terkandung lima lingkaran alam iaitu lima di atas 'Arash Mu'alla dan lima di bawah 'Arash Mu'alla yang merupakan asal-usul kepada Lataif pada tubuh badan Insan dan kedudukannya di Alam Mitsal digambarkan secara menegak.
Setiap satu alam itu dikaitkan dengan sifat-sifat yang tertentu, warna-warna yang tertentu, taklukan dengan Nabi-Nabi yang tertentu dan pencapaian kesedaran yang tertentu. Pergerakan Ruh seseorang Salik menerusi kegiatan Zikrullah dan Muraqabah akan membawanya dari satu lingkaran alam ke suatu lingkaran alam yang lain dalam alam semesta ini secara mendaki.
Gambaran ini seterusnya akan memperlihatkan kepada kita kaitan perhubungan yang berselari dan bertentangan antara tubuh badan manusia dan alam semesta, antara Alam Fana dan Alam Baqa, antara Jasmani dan Ruhani, antara Para Awliya dan Para Anbiya, antara Kewalian dan Kenabian, antara bayang-bayang dan hakikat kebenaran, antara Sifat dan Zat, antara cahaya tubuh dan jasad tubuh yang kesemuanya digambarkan secara menegak.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan