Ahad, 14 Ogos 2011

AMALAN MURAQABAH


AMALAN MURAQABAH

Amalan Muraqabah dapat ditakrifkan sebagai mengawasi, menjaga, menyelia, mengawal, memerhati dan hidup dalam kesedaran bahawa diri sentiasa dikawal oleh Allah . Para Sufi  yang mulia telah menjelaskan hal ini secara lebih lanjut dengan mentakrifkannya sebagai tatacara hati seseorang Salik yang hanya tertumpu kepada Allah  lalu meninggalkan sebarang ingatan terhadap sesuatu apa pun yang selain Allah  serta memelihara dirinya dari segala larangan Allah  dan bertindak dengan kepastian bahawa pengetahuan Allah  meliputi segala sesuatu dan seterusnya menjalani kehidupan dengan menuruti segala perintahNya.

Muraqabah juga boleh ditafsirkan sebagai berusaha mengamati apa yang dikehendaki oleh Allah  dan memimpin kehidupan seharian dalam kesedaran pengawasan diri yang berterusan secara teguh dan penuh ketulusan. Sikap seperti ini akan terhasil apabila seseorang hamba mengetahui bahawa Allah  Yang Maha Berkuasa sentiasa menyedari serta mengetahui semua perbuatan yang dilakukan olehnya, semua ucapannya, segala pengetahuannya dan fikirannya sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Al-Quran Al-Majid:

Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari Al-Quran dan kamu tidak mengerjakan sesuatu pekerjaan pun melainkan Kami menjadi saksi atasmu sewaktu kamu sedang melakukannya, tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah di bumi ataupun di langit, tidak ada yang lebih kecil dan tidak ada pula yang lebih besar dari itu melainkan semuanya tercatat dalam kitab yang nyata Lauh Mahfuzh. [10:61]

Walau dalam keadaan apa pun kita mungkin berada dan walau sebanyak mana pun ayat-ayat suci Al-Quran yang mungkin kita baca dan walau apa jua perbuatan pun yang mungkin kita lakukan, Allah  sentiasa menjadi saksi atas diri kita sewaktu kita sedang asyik melakukannya.

Jika Muraqabah bererti menutup hati dari segala yang selainNya serta memisahkan ingatan terhadap segala sesuatu yang selain dariNya dan membuka semangat untuk menerima limpahan kurniaan Faidhz dan nikmat yang datang dari sisiNya, maka kita perlulah menutup apa yang harus ditutup dan membuka apa yang harus dibuka. Langkah-langkah pengamalan Muraqabah adalah untuk menganggap dan menerima sebagai besar apa yang telah ditetapkan oleh Allah  sebagai besar, menerima sebagai tidak berharga apa yang telah ditetapkanNya sebagai tidak berharga dan lebih memilih kehendak dan keinginan Allah  atas segala kehendak dan keinginan diri sendiri. Berfikir dengan lebih mendalam tentang Allah  akan meningkatkan limpahan Faidhz kurniaan Rahmat Allah  dan menguatkan cinta seseorang terhadap Zat Allah  dan keinginan untuk menyembahNya dengan hati yang ikhlas dan takut serta gentar terhadapNya yang mana akan menyebabkan seseorang itu kehilangan nafsu dan selera makan kerana mengenangkan dosa-dosanya yang silam dan dia akan menjalani kehidupannya dengan lebih berhati-hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan