Ahad, 14 Ogos 2011
SYARAT MURAQABAH
SYARAT MURAQABAH
Syarat yang paling utama dalam Muraqabah adalah pengulangan dalam perantauan Ruhani. Setelah merantau jauh, lalu dia kembali dan kemudian mengulangi perantauannya ke tahap dimensi keruhanian yang lebih jauh. Pengulangan amalan ini merupakan suatu usul yang penting bagi mencapai kesempurnaan untuk membawa Ruh ke lingkaran-lingkaran alam yang lebih tinggi.
Setiap tahap dalam lingkaran-lingkaran ini memiliki nama dan sifat-sifatnya yang tersendiri. Turutannya adalah dari Hadhrat Zat lalu menerusi Sifat-Sifat dan seterusnya melalui paparan Bayangan Sifat-Sifat dan seterusnya menempuh Bayang-Bayangan Sifat-Sifat Allah . Bayangan adalah diibaratkan seperti pantulan atau biasan dari cermin.
Setiap tahap akan membawa Salik menuju Ma'rifat dan merasai kesan pendekatan dan cinta terhadap ZatNya . Kesan-kesan ini terhasil menerusi cahaya limpahan Faidhz yang merupakan kurniaan dari Allah ke dalam hati dan menghasilkan Ma'rifat tentangNya. Cahaya limpahan Faidhz adalah ibarat sinar yang dapat menerangi kegelapan hati.
Sebanyak mana cahaya limpahan Faidhz itu terhasil, maka sebanyak itulah penghasilan Ma'rifat yang diperolehi dari Allah . Dengan limpahan Nur Faidhz juga akan terhasilnya ilmu pengetahuan yang langsung dari Allah sepertimana Wahyu kepada Para Nabi dan Ilham kepada Para Mukmin.
Syarat yang kedua ialah mengembalikan setiap Latifah kepada asal-usulnya. Ruh telah diciptakan semenjak permulaan masa dan telah dikumpulkan di Alam Arwah sehinggalah saat ketentuan Allah untuk mengeluarkannya ke Alam Duniawi, kemudian menggabungkan kewujudannya dengan tubuh badan sehingga apabila dia telah dilahirkan, segala pengetahuannya tentang Allah menjadi lupa dan hilang. Tujuan Para Sufi adalah mendatangkan kembali segala ilmu pengetahuan Ruh tentang Tuhan Pemeliharanya yang haqiqi dan seterusnya terus maju menuju KehadhratNya . Perjalanan Ruhaniah adalah bergerak menuju ke arah atas dari Daerah Imkan menerusi Daerah Kewalian dan seterusnya ke Daerah Kesempurnaan Kenabian, dari Alam Bayangan menerusi Alam Asma dan Sifat menuju ke Alam Hadhrat Zat dan kemudian kembali semula ke bawah untuk bergabung dengan tubuh badan dalam mencapai kesempurnaan sebagai Insan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan