Rabu, 7 September 2011

Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin Rahmatullah 'Alaih Dan Penyebaran Tariqah Khwajagan Naqshbandiyah di Samarqand


Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin Rahmatullah 'Alaih Dan Penyebaran Tariqah Khwajagan Naqshbandiyah di Samarqand



Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin (806 - 895 H / 1404 - 1490 M) adalah seorang pemimpin Tariqah Sufiyah Naqshbandiyah yang mana di bawah pimpinannya Tariqat Naqshbandi telah bertapak dengan kukuh di Asia Tengah hingga ke seluruh Dunia Islam dan pada hakikatnya beliau adalah merupakan seorang yang memerintah sebahagian besar Mawarannahr atau dikenali sebagai Transoxiana selama empat dekad pada pertengahan akhir kurun yang ke lima belas.

Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih lahir di desa Baghistan di sekitar Tashkent dalam bulan Ramadhzan tahun 806 H atau Mac 1403 M. Bapanya adalah seorang Sufi Darwish yang menonjol dan keluarga beliau memang terkenal dari kalangan yang Wara' dan berpendidikan tinggi agama. Beliau memiliki darah keturunan Hadhzrat 'Umar Al-Khattab Radhiyallahu 'Anhu dan telah dibesarkan di Tashkent oleh bapa saudaranya yang bernama Hadhzrat Khwajah Ibrahim Shashi Rahmatullah 'Alaih, seorang ulama besar pada masa itu yang telah memberinya pendidikan awal. Sesudah beliau lulus dalam ilmu Zahiriyah dan Duniawiyah, bapa saudaranya telah menghantar beliau ke Samarqand untuk mendapatkan ilmu pengetahuan Batiniyah dan Ukhrawiyah.

Kemudian beliau telah berpindah ke Samarqand untuk melanjutkan pengajiannya namun tidak dapat disempurnakannya oleh kerana sering ditimpa demam dan lemah kecenderungan dari dirinya, lalu beliau telah segera menamatkan pengajiannya di Samarqand dan menurut kenyataannya, beliau tidak pernah menguasai Ilmu Nahwu Bahasa 'Arab walau dua muka surat pun. Pada awalnya ketika di Samarqand, beliau telah menyertai dengan Halqah para murid Hadhzrat Khwajah Nizamuddin Khamosh Rahmatullah 'Alaih yang merupakan seorang yang Salih lagi terkemuka pada masa itu.

Pada usia 22 tahun beliau telah pergi ke Bukhara dan ketika berada di luar bandar Bukhara, beliau telah bertemu dengan Hadhzrat Khwajah Sirajuddin Birmisi Rahmatullah 'Alaih. Setelah tinggal beberapa lama dengannya, beliau telah melanjutkan perjalanan menuju ke Bukhara.

Di Bukhara, beliau telah memperolehi bimbingan Ruhaniyah yang menguntungkan daripada Hadhzrat Khwajah 'Alauddin Ghajduwani Rahmatullah 'Alaih yang merupakan seorang pemidato yang sangat baik dan luar biasa. Ketika Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih bertemu Hadhzrat Khwajah 'Alauddin Ghajduwani Rahmatullah 'Alaih yang telah berusia 90 tahun, walaupun sudah tua namun beliau tidak pernah menghentikan amalan kesalihannya atau menahan diri dari membuat pergaulan Suhbah yang menguntungkan dengan Para Muridnya. Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih menerima masa keruhanian dari Khwajah Ghajduwani Rahmatullah 'Alaih sedang kedua-duanya sibuk dalam Muraqabah di Maqam Hadhzrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih.

Kemudian, beliau telah pergi ke Khurasan melalui Merv lalu singgah di Herat dan tinggal di sana selama empat tahun dengan Hadhzrat Sayyid Qasim Tabrizi Rahmatullah 'Alaih. Ketika di Herat, beliau telah mendengar kata-kata pujian tentang Hadhzrat Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih. Beliau telah memutuskan untuk mengambil manafaat dari Hadhzrat Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih dan telah memulakan perjalanan untuk bertemu dengannya dan mengambil limpahan Faidhz keruhanian darinya.

Ketika berusia 24 tahun beliau telah pergi ke Herat untuk meneruskan pengajiannya berkenaan Ilmu Tariqat Tasawwuf, khasnya dibawah asuhan Hadhzrat Maulana Khwajah Ya'aqub Charkhi Rahmatullah 'Alaih yang merupakan salah seorang daripada khalifah Hadhrat Khwajah Khwajagan Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih.

Dalam paparan seluruh kehidupannya, beliau kurang memberikan penekanan terhadap pendidikan secara formal dan teratur sebaliknya lebih menitik-beratkan penguatkuasaan Syari'at dan pengamalan Ilmu Tasawwuf. Nilai-nilai kesucian sudah terlihat dalam dirinya sejak masa kecilnya. Hadhzrat Khwajah Ahrar pernah berkata:
"Dari usia tiga tahun daku telah berada di Hadhzrat Allah. Ketika daku mempelajari Al-Quran dengan guruku, hatiku berada di Hadhzrat Allah. Dahulu daku berfikir bahawa semua orang adalah seperti itu."

Oleh kerana beliau memiliki takluk perhubungan yang baik dengan para pemimpin Timurid di Mawarannahr khasnya Sultan Abu Sa'id, maka beliau telah berjaya mendapatkan kedudukan yang teguh dalam wilayah pemerintahan Timurid. Era Timurid, dinasti yang memerintah Transoxiana, Iran, dan Afghanistan 1370 - 1506 mempunyai kesan budaya dan seni yang mendalam tentang sejarah Asia Tengah, Empayar Uthmaniyyah dan Mughal India di era moden awal. Menurut beberapa riwayat berkenaan Hadhzrat Khwaja 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih, Sultan Abu Sa'id telah mengalami kekalahan dalam sebuah peperangan yang telah dilancarkan oleh seorang putera raja yang memberontak bernama 'Abdullah Mirza.

Oleh kerana kekalahan, Sultan Abu Sa'id telah bergerak ke sebelah utara iaitu di Tashkent. Semasa dalam perjalanan, beliau telah bermimpi bertemu dengan seorang Wali Allah yang besar lagi agung bernama Hadhzrat Khwajah Ahmad Yasawi Rahmatullah 'Alaih. Di dalam mimpinya, Hadhzrat Khwajah Ahmad Yasawi Rahmatullah 'Alaih telah memperkenalkan kepadanya seorang yang berkilau tubuh badannya dengan cahaya Nur serta dapat membantu beliau dalam usahanya.

Sultan Abu Sa'id telah cuba menjelaskan gambaran orang yang telah dilihatnya dalam mimpi tersebut kepada orang-orang di Tashkent. Beliau telah diberitahu bahawa orang tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih yang pada ketika itu tidak berada di Tashkent, tetapi sedang menetap di sebuah bandar kecil bernama Farkat di luar Kota Tashkent. Sultan Abu Sa'id telah membuat keputusan untuk pergi bertemu dengan Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Hadhzrat Khwaja 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah bersedia memberikan bantuannya kepada Sultan Abu Sa'id dengan syarat bahawa dia hendaklah menggunakan kuasa pemerintahannya untuk menguatkuasakan Syari'at Islam dan meringankan bebanan rakyat.

Dalam peperangan yang berikutnya, 'Abdullah Mirza telah menghadapi kekalahan dan Sultan Abu Sa'id telah berjaya memasuki Samarqand dan kemudian telah disusul dengan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Sultan Abu Sa'id berasa terhutang budi dengan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih dan menurut riwayat yang telah dinukilkan oleh 'Abdur Razzaq As-Samarqandi Rahmatullah 'Alaih, Sultan Abu Sa'id telah menganggap dirinya sebagai berada di bawah segala arahan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Penguasaan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih ke atas Samarqand menjadi lengkap pada tahun 861 H/1457 M apabila Sultan Abu Sa'id menukarkan kota pemerintahannya di Herat. Sesudah kematian Sultan Abu Sa'id, putera beliau yang bernama Sultan Ahmad juga telah menjadi pengikut setia Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Terdapat berbagai-bagai episod mencabar dalam kehidupan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih selain dari kisah penaklukan Samarqand dalam tahun 855 H/1451 M, seperti pengaruhnya dalam politik dan pengurusannya terhadap pertahanan Samarqand dari serangan tentera Khurasan dalam tahun 858 H/1454 M.

Kejayaan beliau mempengaruhi Sultan Abu Sa'id sehingga dia telah berjanji untuk menghapuskan segala amalan yang bertentangan dengan Syari'at Islam di dalam seluruh jajahan takluk pemerintahannya, khasnya di Bukhara dan Samarqand dalam tahun 865 H/1460 M. Beliau telah berjaya menyelesaikan perbalahan antara Sultan Abu Sa'id dengan putera pemberontak yang bernama Muhammad Djuki di Shahrukhiyyah dalam tahun 865 H/ 1461 M dan 867 H/ 1463 M serta telah mengadili tiga buah tuntutan yang bertentangan dalam penaklukan Tashkent dalam tahun 890 H/ 1485 M.

Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah memberikan alasan beliau melibatkan diri dalam berbagai situasi politik menerusi surat-surat beliau yang mana telah menjelaskan bahawa beliau berusaha mencapai kekuasaan atas para penguasa dan pemerintah adalah bagi memelihara keadilan dan melaksanakan Syari'at. Beliau telah berkata,
"Perlu ada yang berdiri di antara rakyat dan para pemerintah, seorang yang mampu menyekat kezaliman dan penindasan. Rakyat adalah tidak berkemampuan dan tidak berdaya menghadapi tentangan orang yang lebih kuat. Maka adalah perlu untuk mempengaruhi para pemerintah agar tidak melanggari batas undang-undang Allah Ta'ala atau menzalimi rakyat."

Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih diriwayatkan sebagai pernah berkata,
"Jika kami bertindak sebagai seorang Syaikh dalam zaman ini, tiada seorang Syaikh pun yang akan mendapat walau seorang murid pun, akan tetapi suatu tugas lain telah diamanahkan kepada kami iaitu untuk melindungi Ummat Muslim dari kejahatan para pemberontak dan untuk mencapai tujuan ini kita mestilah menemui para pemerintah dan menguasai jiwa mereka, seterusnya mencapai maksud untuk kepentingan Ummat Muslim."

Beliau telah menjadi perantara untuk mendamaikan pertelingkahan yang berlaku di antara putera-putera Timurid, mengaturkan perundingan dengan para pemimpin suku kaum yang berpindah-randah, menyusun pertahanan untuk memelihara Samarqand dan beliau juga telah menjadi seorang tuan tanah yang paling berkuasa dalam wilayahnya dan mungkin juga seorang yang paling kaya di Mawarannahr. Beliau telah banyak membantu dalam menegakkan ketinggian kuasa Naqshbandi ke seluruh Asia Tengah.

Para khalifah dan para pengikutnya yang datang sesudahnya telah memikul pengaruh beliau dan telah menyebarkannya ke tempat yang lebih jauh sehingga ke Turki, Turkistan Timur, India dan sehingga ke hari ini pengaruh beliau telah tersebar ke seluruh pelosok Dunia.

Kajian tentang Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih dan peranannya dalam menempa kejayaan bagi Tariqah Sufiyah Naqshbandiyah di empayar Timuriyah pada abad ke-15 telah dibingkaikan dengan dua pertimbangan utama:

1. Pertama, penyelidikan tentang karisma kepemimpinan Sufi seperti Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar sering bergantung pada bahan-bahan sejarah di bawah karangan Hagiografi iaitu riwayat tentang kehidupan Para Wali.

2. Kedua, kajian tentang fenomena Asia Tengah seperti kewujudan Naqshbandiyah sehingga tahun 1990-an merupakan suatu bidang istimewa bagi para sarjana Russia yang menjalankan kajian dengan sistem metodologi dan epistemologi Marxsis yang tidak selalunya bersikap baik terhadap sebarang gerakan keagamaan yang masyhur dan sistem kepercayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan